Guna inap desa, sindiket tipu pelaburan didalangi warga China tumpas

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 1:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noor Hisam (tengah) menunjukkan barangan rampasan bernilai RM95,000 hasil kejayaan menumpaskan satu sindiket pusat panggilan penipuan pelaburan kripto tidak wujud yang didalangi warga China dalam serbuan di sebuah inap desa di Bagan Datuk, Selasa lalu.

IPOH - Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket pusat panggilan penipuan pelaburan kripto tidak wujud yang didalangi warga China dalam serbuan di sebuah inap desa di Bagan Datuk, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 22 warga China termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun berjaya ditahan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket itu menggunakan platform dikenali sebagai 'Pyxora Labs' dengan menyasarkan warga Eropah khususnya dari Itali.

"Suspek akan berkomunikasi dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum mempengaruhi mereka menyertai pelaburan palsu tersebut.

“Pembayaran dibuat oleh mangsa dalam bentuk mata wang kripto USDT menerusi aplikasi atau laman web yang disediakan sindiket,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Beliau berkata, hasil serbuan turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut termasuk 35 telefon bimbit, sembilan komputer riba, enam tetikus, dua router, dua modem dan dua penyambung wayar dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM95,000.

Katanya, sindiket yang dipercayai telah beroperasi sejak Februari lalu itu menjadikan inap desa sebagai lokasi operasi kerana suasananya yang lebih tertutup dan tidak mencurigakan.

“Setakat ini, kita percaya kumpulan ini beroperasi secara sendiri. Kita dapati, kesemua tangkapan warga asing ini mempunyai dokumen lengkap dan masuk ke negara ini secara sah.

"Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi menyiasat kemasukan semua suspek ke negara ini," katanya.

Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120(b) kanun sama.