
ALOR GAJAH – Lebih 3,000 penghantar p-hailing di Melaka bakal menikmati subsidi kos penyelenggaraan motosikal menerusi inisiatif kerajaan negeri yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, berita baik itu dijangka diumumkan secara rasmi pada minggu hadapan selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.
Katanya, golongan p-hailing boleh mendapatkan kemudahan tersebut di bengkel motosikal yang akan dilantik di seluruh negeri termasuk di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerajaan negeri telah pun setuju untuk melantik bengkel motosikal dengan memberikan diskaun kepada semua p-hailing ini.
“Kita akan umumkan dalam sedikit masa lagi, bajet pun telah kita luluskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni komuniti p-hailing di Masjid Tanah, hari ini.
Pada program itu, Ab. Rauf turut mengambil peluang menyelami rutin golongan p-hailing mencari rezeki apabila beliau sendiri menjadi salah seorang penghantar makanan kepada beberapa pelanggan di sekitar Pengkalan Balak.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, kadar subsidi yang bakal diterima golongan itu adalah sekitar 20 hingga 30 peratus daripada kos total penyelenggaraan motosikal.
Ujarnya lagi, pihaknya turut mendapatkan pandangan daripada syarikat platform p-hailing terlibat dalam mengenal pasti bengkel yang berkelayakan sebelum inisiatif itu dilaksanakan.
“Kita tak nak bagi pada (semua) bengkel-bengkel, nanti dia tak berkemampuan, masalah juga. Jadi, kita akan minta pandangan daripada Grab ataupun Foodpanda ataupun Shopee dan mana-mana jenama yang telah memiliki bengkel didaftarkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan p-hailing bagi membantu menjaga kebajikan mereka.
Jelasnya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada konsep ‘Melaka Sayang Rakyat’ yang memberi perhatian kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan yang mencari rezeki melalui sektor ekonomi digital. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 3,000 rider Melaka bakal terima subsidi servis motosikal appeared first on Kosmo Digital.






