Umpamakan BN ‘anak dara cantik’, Ab Rauf dedah ‘ramai nak masuk meminang’

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 8:49 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumpamakan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan beberapa gabungan parti untuk bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua keluarga akan memilih siapa beri hantaran terbaik

Memetik laporan daripada Berita Harian, Pengerusi BN Melaka itu menyatakan, beberapa pihak dijangka tampil menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.

“Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramai yang mahu meminang. Kena tunggulah.
“Jadi pastinya saya sebagai ‘ketua dalam keluarga’ ini akan memilih siapa yang memberikan hantaran mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya,” katanya.

Image from: Umpamakan BN ‘anak dara cantik’, Ab Rauf dedah ‘ramai nak masuk meminang’

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Melaka, di sini, hari ini, selepas menghadiri prosiding perbicaraan kes saman fitnah beliau terhadap Timbalan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dilaporkan akan mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Buka ruang rundingan

Ia susulan pendirian Ab Rauf untuk membuka ruang rundingan dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun menegaskan rundingan berkenaan tidak semestinya berakhir dengan perjanjian atau persetujuan.

Dalam pada itu, Ab Rauf menambah, setakat ini belum ada mana-mana parti politik atau gabungan yang mengadakan rundingan rasmi berkaitan kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan BN Melaka sentiasa terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak.

“Walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan mendapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.
“Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, asalkan kedua-dua pihak dapat bersama-sama melihat hala tuju yang terbaik,” katanya.

Image from: Umpamakan BN ‘anak dara cantik’, Ab Rauf dedah ‘ramai nak masuk meminang’

Beliau menyatakan, sebarang asas rundingan kelak mesti berpaksi kepada keutamaan BN untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN ke-15 lalu.

Sementara itu, mengulas pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang enggan bertanding dalam PRN sekiranya wujud kerjasama antara BN dan PH, Ab Rauf berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dirumuskan.

Katanya, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung sebarang bentuk gabungan atau kerjasama politik kerana ‘jodoh’ BN masih belum dimuktamadkan.

“(Keputusan) itu terlalu awal lagilah sebab kita tidak buat keputusan lagi, siapakah ‘jodoh’ kita pun belum ada lagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Amir Mamat)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved