Lebih 30,000 banjiri malam terakhir festival Rain Rave Water Music, keadaan terkawal tanpa insiden besar: Polis

LocalEntertainment
3 May 2026 • 8:57 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Lebih 30,000 banjiri malam terakhir festival Rain Rave Water Music, keadaan terkawal tanpa insiden besar: Polis

KUALA LUMPUR – Lebih 30,000 pengunjung membanjiri Bukit Bintang pada malam terakhir Rain Rave Water Music Festival 2026 malam tadi, sekali gus menutup tirai acara tiga hari yang mencetuskan pelbagai polemik sejak awal penganjurannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan tiada insiden besar direkodkan sepanjang festival bermula 30 April lalu, kecuali penahanan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun kerana memiliki pisau.

“Wanita ini ditahan untuk siasatan lanjut dan kita akan mendapatkan perintah reman esok. Selain itu, beberapa tangkapan pencegahan turut dibuat terhadap individu mencurigakan,” katanya kepada media selepas festival berakhir malam tadi.

Fadil menjelaskan seramai 500 pegawai dan anggota polis digerakkan setiap malam, melibatkan semua enam daerah di bawah Kontinjen Kuala Lumpur serta bantuan Bukit Aman.

“Jumlah penugasan ini besar kerana keselamatan awam menjadi keutamaan,” katanya sambil menambah beliau sendiri turun padang setiap hari memantau keadaan.

Walau berlangsung meriah, festival ini tidak terlepas daripada bantahan segelintir pihak yang mendakwa ia bercanggah dengan nilai masyarakat tempatan. Hantaran di media sosial sebelum ini menuduh acara itu mendorong budaya hedonisme dan pakaian mencolok mata, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat.

Penganjur, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama sekretariat Tourism Malaysia, mempertahankan bahawa festival berkonsepkan air itu adalah sebahagian strategi Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk merancakkan ekonomi bandar raya dan menarik pelancong asing.

Fadil turut menegaskan kontroversi tidak menjejaskan kawalan keselamatan.

“Secara keseluruhan, program ini terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada warga ibu kota atas kerjasama mereka. - 3 Mei, 2026

The post Lebih 30,000 banjiri malam terakhir festival Rain Rave Water Music, keadaan terkawal tanpa insiden besar: Polis appeared first on Scoop.