KUANTAN - Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 mendapat sambutan luar jangka apabila menyaksikan kehadiran lebih 30,000 peminat bola sepak dari seluruh Pahang membanjiri Stadium Darul Makmur di sini pada Sabtu.
Kehadiran luar biasa penyokong pelbagai lapisan usia itu mengembalikan kemeriahan yang sudah lama tidak disaksikan di Stadium Darul Makmur, gelanggang keramat skuad Tok Gajah itu.
Pelancaran liga bola sepak rakyat yang julung kali dianjurkan di negeri ini disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kehadiran luar biasa penyokong pelbagai lapisan usia itu mencerminkan sokongan padu rakyat negeri ini terhadap usaha memperkasakan semula pembangunan bola sepak akar umbi yang menjadi fokus utama penganjuran liga berkenaan.
**media[3542791]**
Menurutnya, liga yang julung kali diperkenalkan itu dijadual memulakan saingan kira-kira dua minggu lagi dengan perlawanan berlangsung serentak di beberapa daerah di seluruh negeri.
"Penganjuran Liga Rakyat Pahang 1st ini merupakan ilham Al-Sultan Abdullah yang mahu melihat rakyat daripada seluruh daerah diberikan peluang menyertai pertandingan bola sepak secara lebih tersusun.
"Liga ini bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi medium penting untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi mewakili negeri pada masa hadapan," katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah di Stadium.Darul Makmur pada Sabtu.
**media[3542790]**
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Fadzli berkata, penganjuran liga itu juga antara lain sebagai platform menyediakan pelapis pemain bola sepak negeri untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).
“Pahang pernah dikenali sebagai antara kuasa besar bola sepak negara suatu ketika dahulu dan kita mahu mengembalikan semula kegemilangan itu melalui pembangunan di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Tambah beliau, selain Liga Rakyat Pahang 1st, kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan beberapa pertandingan melibatkan kelompok umur berbeza termasuk liga bawah 19 tahun, bawah 15 tahun, bawah 12 tahun, bawah 10 tahun dan bawah lapan tahun.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan pembangunan bola sepak negeri berlangsung secara berterusan dan mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa hadapan.
Mengulas mengenai penganjuran liga itu, Fadzli berkata, berdasarkan mesyuarat bersama persatuan-persatuan bola sepak daerah pada Sabtu, rata-rata daerah sudah bersedia untuk menyertai saingan itu.
"Bagaimanapun ada daerah masih belum melengkapkan jumlah pasukan jadi saya berharap setiap daerah dapat menghantar sekurang-kurangnya 12 pasukan.
“Cameron Highlands mungkin agak sukar untuk mengumpulkan jumlah itu, tetapi daerah lain saya lihat tidak mempunyai masalah,” katanya.
**media[3542789]**
Beliau berkata, format pertandingan yang diperkenalkan berbeza daripada kebiasaan kerana melibatkan persaingan di peringkat daerah sebelum pasukan terbaik mewakili daerah masing-masing ke peringkat negeri.
Sempena pelancaran liga itu turut berlangsung perlawanan istimewa membabitkan Pasukan Pilihan Pahang menentang Plihan Selangor yang dibarisi bekas-bekas pemain kedua-dua pasukan sebagai pembuka tirai.
Sorakan bergema di akhir perlawanan apabila Pasukan Pilihan Pahang menang dengan jaringan 2-1.
Sebanyak 112 pasukan dari seluruh Pahang bakal berentap dalam Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st.
Saingan akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan daerah Lipis, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Muadzam, Kuantan, Rompin dan Pekan.
Peringkat kumpulan dijadual berlangsung dari 20 Jun hingga 26 Julai sebelum saingan diteruskan ke pusingan 16 terbaik pada awal Ogos.
Kemuncak kejohanan bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur dengan aksi suku akhir dijadualkan pada 15 Ogos, separuh akhir (22 Ogos) dan perlawanan akhir serta penentuan tempat ketiga dan keempat pada 29 Ogos 2026.




