Lebih 30 Tahun Terbiar, Highland Towers Akan Dirobohkan Sebelum Hujung 2026

14 Jun 2026 • 11:57 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Lebih 30 Tahun Terbiar, Highland Towers Akan Dirobohkan Sebelum Hujung 2026

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kompleks kondominium Highland Towers di Hulu Klang Selangor yang telah terbiar lebih 30 puluh tahun akhirnya dijangka akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari, keputusan Mahkamah Majistret pada minggu lalu yang membenarkan permohonan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membolehkan struktur bangunan terbabit yang terbiar lebih tiga dekad lalu diruntuhkan.

Sehubungan itu MPAJ kini dalam proses untuk menyelaraskan tindakan lanjut terutamanya kepada pihak yang akan menguruskan kerja-kerja perobohan bangunan yang telah dibiarkan terbengkalai itu.

“Kita akan anjurkan satu mesyuarat pelarasan membabitkan pihak pemilik unit yang diwakili oleh pihak pemaju dan insolvensi.

“Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan… Kita dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian usai Program Hari Tanpa Kenderaan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia peringkat MPAJ 2026, di Ampang hari ini (14 Jun).

MPAJ pada 2024 jangka kos perobohan Highland Towers antara RM6j – RM7j

Pada tahun 2024, MPAJ telah memulakan proses permohonan untuk merobohkan blok-blok yang masih ada, susulan beberapa aduan daripada penduduk sekitar.

Yang Dipertua (YDP) MPAJ Dr Ani Ahmad pada waktu itu menganggarkan kos merobohkan Highland Towers adalah antara RM6 juta dan RM7 juta.

Sekitar 2021, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan KPKT akan merancang mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan melestarikannya menjadi kawasan yang sejahtera buat masyarakat.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: 28 Tahun Terbiar, Highland Towers Akhirnya Bakal Dirobohkan

Menara 1 Highland Towers runtuh korbankan 48 orang pada 1993

Untuk rekod, pada 11 Disember 1993, blok Menara 1 Highland Towers yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, runtuh sehingga mengorbankan 48 orang.

Bagaimanapun, pasukan penyelamat berjaya menemui dua orang yang masih hidup.

Antaranya individu yang terkorban adalah anak dan menantu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam iaitu Carlos Rashid dan Rosina Abu Bakar.

Siasatan pihak berkuasa kemudian mempercayai hakisan tanah akibat hujan lebat telah menyebabkan bencana tersebut.

Sejak dari itu, dua lagi blok kediaman dibiarkan kosong tidak berpenghuni sehingga digelar “bangunan hantu”.

Malah ia turut menjadi sarang penagihan dadah dan masalah sosial yang mengundang kepada rasa kurang senang penduduk setempat.