
PUTATAN: PKR Cabang Putatan berdepan cabaran apabila lebih 300 ahlinya diketuai Ketua Penerangan Srikandi PKR Sabah, Diana Redzuan, bertindak keluar parti untuk menyokong calon Bebas bagi kerusi Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.
Keputusan yang turut disertai 10 Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PKR Cabang Putatan itu diambil kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Cabangnya Awang Husaini Sahari yang juga calon PKR kerusi Petagas.
Diana berkata PKR Cabang Putatan kini menghadapi konflik dalaman hingga berlaku perpecahan susulan Pemilihan PKR, baru-baru ini namun tiada inisiatif Awang Husaini untuk selesaikan isu tersebut.
Pada masa sama katanya, pihaknya rasa terpinggir kerana sehingga kini tiada sebarang usaha daripada Awang Husaini sama ada untuk berjumpa atau melibatkan mereka dalam kempen pilihan negeri ke-17.
“Beliau tidak pernah berjumpa kami untuk memohon bantuan, jadi kami rasa beliau (Husaini) tidak perlukan kami-mungkin sudah ada jumlah sokongan yang cukup untuk menang PRN17 ini.
“Ditambah lagi dengan tiadanya sebarang langkah daripada Awang Husaini untuk memperbaiki isu perpecahan dalaman PKR Putatan, menyebabkan kami ambil keputusan menyokong calon Bebas, Datuk Awang.
“Jumlah 300 orang anak muda PKR bersama saya ini hanya untuk yang mengundi di kerusi Petagas saja, kerana jumlah sebenar yang keluar daripada PKR Putatan lebih 700 orang terdiri daripada ahli lama dan orang muda,” katanya pada Program Sokongan Anak Muda Bersama Calon Bebas Petagas Datuk Awang Ahmad Sah, di sini.
Ketika ditanya kenapa memilih calon Bebas berbanding menyokong parti lainnya, bekas Ketua Srikandi PKR Putatan itu berkata pihaknya tertarik dengan kepimpinan Awang Ahmad semasa menyandang kerusi Petagas sebelum ini.
Menurutnya, Awang Ahmad yang merupakan abang kepada Awang Husaini sentiasa prihatin dan membantu rakyat di kawasan itu tanpa mengira perbezaan politik, agama dan kaum.
“Boleh dikatakan PKR Cabang Putatan ‘lumpuh’ kerana sokongan ahli-ahli lama khususnya AJK-AJK Cabang Putatan dan Angkatan Muda Keadilan yang berpindah kepada Datuk Awang,” katanya.
Sementara itu Awang Ahmad berkata semasa masih bersama GRS sebagai Ketua Bahagian GRS Petagas sebelum ini, sudah ramai ahli PKR Putatan keluar parti untuk menyokong beliau dan terus berlaku sehingga kini.
Namun katanya, perkara itu terpaksa dirahsiakan bagi menjaga sensitiviti susulan hubungan baik di antara Pakatan Harapan (PH) dengan GRS yang bekerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya sambut baik sokongan semua ahli-ahli PKR ini yang tertarik dengan kepimpinan saya dan bagi saya, kepentingan rakyat harus diutamakan daripada peribadi.
“Sebab itu saya bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Petagas (setelah PKR meletakkan Awang Husaini) bagi memenuhi kemahuan penyokong dan rakyat di kawasan ini.
“Justeru, saya akan bekerja keras bagi membalas kepercayaan mereka rakyat dan kita yakin mampu meraih kemenangan seterusnya mencipta sejarah kerusi Petagas milik bebas.
Ketika ditanya jika beliau akan beri sokongan kepada GRS sekiranya gabungan itu mendapat majoriti mudah atau kekurangan kerusi selepas PRN17, Ahmad Awang berkata beliau belum memikirkan perkara itu.
“Saya tidak dapat jawab soalan ini sekarang kerana banyak perkara perlu diambil kira seperti sensitiviti penyokong dan biarkan masa menjawabnya,” kata bekas Ketua Bahagian PGRS Petagas itu.
