Lebih 300 kanak-kanak dirai di Nabawan

26 Nov 2022 • 3:40 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

NABAWAN: Lebih 300 kanak-kanak dari Nabawan, Sook, Pensiangan dan Keningau mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan Bulan Amal peringkat daerah di Pentas Terbuka dan Kompleks Sukan di sini.

Hari Kanak-Kanak Sedunia merupakan hari aksi global untuk kanak-kanak oleh kanak-kanak. Ia meraikan penerimaan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak pada 20 November 1989.

“Kesihatan dan Kesejahteraan untuk Setiap Kanak-kanak” adalah tema sambutan yang digunakan untuk menekankan kepentingan pemakanan baik untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak melalui: Meningkatkan pengetahuan tentang khasiat makanan tempatan (resepi dan aktiviti penanaman berdasarkan apa yang terdapat di negara ini) memupuk minat kanak-kanak untuk menanam serta mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.

Malnutrisi berleluasa di Sabah, seperti di seluruh Malaysia. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), 21.8 peratus kanak-kanak di Malaysia terbantut.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kanak-kanak merupakan aset negara yang bukan sahaja perlu dilindungi daripada ancaman luar tetapi juga hak dan peluang.

Dalam ucapannya yang dibacakan oleh Penolong Setiausaha Tetap Kementerian, Hajah Myrna Jimenez ketika merasmikan program di sini, Shahelmey merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Unicef Malaysia kerana mengadakan program itu di Sabah.

“Kami berharap kerjasama ini akan diteruskan agar lebih banyak program berkaitan dapat diadakan untuk memberi manfaat kepada kanak-kanak dan masyarakat di Sabah,” kata Shahelmey.

Program anjuran bersama Unicef dan Majlis Khidmat Masyarakat Sabah itu turut dihadiri Ketua Perhubungan Unicef Malaysia, Marc Vergara; Pegawai Daerah, Neldin Gimbang dan wakil pertubuhan itu.

Pelbagai acara turut diadakan antaranya kelas memasak, penanaman, kitar semula, kesihatan dan kebersihan, bola sepak dan klinik sukan sebagai aktiviti mempromosikan pemakanan, kesejahteraan, pendidikan, tanpa diskriminasi dan hak kanak-kanak amnya.