‘Saya rasa ibu mahu bersalin.’ Umur 10 tahun jadi ‘bidan terjun’ bantu ibu bersalin, sikap berani kanak-kanak perempuan ini dikagumi ramai

26 Nov 2022 • 11:30 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KANAK-KANAK perempuan berusia 10 tahun diangkat sebagai wira selepas menyambut sendiri kelahiran adik perempuannya di kediaman mereka baru-baru ini.

Lapor Daily Mail UK, Miracle Moore yang berasal dari Missouri, Amerika Syarikat dikatakan membantu ibunya bersalin tiga minggu lebih awal dari tarikh jangkaan.

image is not available

Ketika kejadian, Moore diminta oleh ibunya, Viola Fair, 30, supaya menghubungi talian kecemasan 911 bagi meminta bantuan.

“Hai, saya rasa ibu saya mahu bersalin,” ungkap Moore selepas berjaya menghubungi talian kecemasan itu.

Perbualan tersebut berlangsung kira-kira selama 11 minit di antara kanak-kanak berusia 10 tahun tersebut bersama pegawai bertugas, Scott Stranghoener.

image is not available

Insiden berkenaan yang berlaku pada 23 Oktober lalu turut dikongsikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat North Country menerusi laman Facebook rasmi mereka.

IKUT ARAHAN MELALUI TELEFON

Melanjutkan cerita, Moore berjaya membantu ibunya melahirkan adik perempuan yang dinamakan sebagai Jayla hasil bimbingan operator panggilan kecemasan tersebut.

image is not available

Bahkan, budak perempuan itu dikatakan berjaya mengikut semua arahan yang diberikan kepadanya dengan baik walaupun hanya menerusi telefon.

Sementara menantikan kedatangan paramedik, Moore turut mengelap wajah dengan tuala dan membantu merangsang adiknya itu supaya menangis serta memastikannya dalam keadaan hangat.

image is not available

Anggota kecemasan yang tiba beberapa minit kemudian mengambil alih tugas kanak-kanak itu dan membawa ibu dan bayi berkenaan ke hospital dengan selamat dan sihat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat North Country menyifatkan tindakan Moore sangat ‘ajaib’, sesuai dengan nama yang diberikan kepadanya, Miracle.

“Beliau mendial talian 911 dan mengikut segala arahan dengan baik. Beliau memang hebat.

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada operator 911, Stranghoener yang berkomunikasi dengan nada yang tenang. Hasilnya, Moore dapat membantu ibunya melahirkan adik perempuan, Jayla,” tulis mereka menerusi kapsyennya di Facebook.

image is not available

Kagum betul SinarPlus membaca kisah keberanian dan kebijaksanaan Moore. Walaupun baru berusia 10 tahun, namun beliau berani berhadapan dengan situasi tersebut. Sesuailah namanya Miracle (ajaib) kan!

Sumber: Daily Mail UK & North County Fire & Rescue

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi