
JAKARTA – Seramai 365 penduduk di Sragen, Jawa Tengah dilaporkan jatuh sakit selepas menikmati makanan percuma di sekolah, menjadikannya kes keracunan makanan terbesar yang melibatkan program makan percuma Presiden Indonesia, Prabowo Subianto setakat ini.
Menurut pihak berkuasa tempatan, pengagihan makanan percuma di kawasan itu telah digantung sementara bagi membolehkan sampel makanan diuji untuk mengenal pasti punca pencemaran.
Program makan percuma yang menelan kos sekitar AS$28 bilion (RM132 bilion) itu merupakan janji kempen Prabowo bagi menangani masalah bantut (stunting) dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia.
Namun, pelaksanaannya sejak Januari lalu dibayangi siri kes keracunan makanan, selain kritikan mengenai kos tinggi yang didakwa memberi tekanan besar kepada kewangan negara.
Seorang pelajar Tingkatan 3, Wizdan Ridho Abimanyu, memberitahu Reuters bahawa dia terjaga pada waktu malam akibat sakit perut yang kuat sebelum mengalami cirit-birit dan sakit kepala.
Dia turut melihat rakan-rakan sekolahnya mengadu simptom serupa di media sosial.
Makanan yang dipercayai menjadi punca insiden itu terdiri daripada nasi kunyit, telur hancur, tempe goreng, salad timun dan sekotak susu – semuanya disediakan di dapur pusat dan dihantar ke beberapa sekolah di Sragen.
Kerajaan Indonesia memberi jaminan akan menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa. Ketua kerajaan daerah Sragen, Sigit Pamungkas, berkata pihaknya belum dapat membuat kesimpulan awal namun menegaskan keperluan memperketat aspek kebersihan program tersebut di seluruh negara.
Sejak pelancaran program itu, lebih 1,000 orang di seluruh Indonesia dilaporkan jatuh sakit akibat keracunan makanan.
Untuk membiayai inisiatif ini dan program populis lain, Prabowo telah mengarahkan pemotongan perbelanjaan kerajaan sebanyak AS$19 bilion, menyebabkan bajet beberapa kementerian dipotong sehingga separuh.
Langkah tersebut mencetuskan bantahan besar-besaran di jalan raya, dengan salah satu sepanduk protes berbunyi, “Anak makan percuma, ibu bapa diberhentikan kerja.”
Dalam ucapan sulungnya di Sidang Tahunan Negara pada Jumaat, Prabowo mempertahankan program itu, menyatakan ia bersama inisiatif sosial lain akan membantu menjadikan Indonesia sebuah negara yang “bebas daripada kemiskinan, bebas daripada kelaparan, bebas daripada penderitaan”.



