
KEPALA BATAS: Lebih 350 peserta menerima manfaat daripada inisiatif KPS Berhad Caregiver, sebuah inisiatif pelaburan sosial oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) yang menyediakan latihan komprehensif dalam bidang penjagaan asas warga emas sejak 2019 hingga kini.
Latihan yang diberikan merangkumi aspek penjagaan diri, pengurusan ubat-ubatan, pemakanan serta keperluan asas warga emas, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran peserta, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
Ketua Pegawai Kelestarian, Jabatan Perhubungan Pelabur, Kelestarian dan Komunikasi KPS Berhad, Zulkifli Mawardi berkata, daripada keseluruhan peserta itu pula, kira-kira 80 peratus daripada mereka berjaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan dan memberikan impak kepada komuniti.
Justeru katanya, selari dengan misi untuk memupuk nilai dan mencipta impak yang positif, KPS Berhad berhasrat untuk terus melahirkan lebih ramai penjaga yang bertauliah, demi menyumbang kepada pemerkasaan industri penjagaan warga emas yang direncanakan oleh kerajaan ketika ini.
“Untuk memastikan modul latihan yang diberi kepada peserta itu sentiasa relevan, rakan kerjasama kami, Cality Care Malaysia juga akan memastikan bahawa jangkaan daripada komuniti itu sendiri berjaya dipenuhi.
“Sebagai contoh, ketika inisiatif ini mula dilaksanakan pada 2019, kami tidak mempunyai modul latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 iaitu peringkat tertinggi bagi sijil asas kemahiran.
“Tetapi apabila kami bergandingan dengan Cality Care, kami mampu untuk menghasilkan modul yang lebih berkualiti untuk latihan peserta-peserta inisiatif ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi dan Makan Malam Inisiatif KPS Berhad Caregiver 2026 di sini, kelmarin.
Pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Cality Care Malaysia, Mohamad Hizlan Hasanuddin itu, seramai 62 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang berjaya menamatkan latihan yang berlangsung selama dua minggu bagi kelas teori serta empat minggu bagi kelas praktikal.
Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf, Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP), Ruslan Harun berkata, separuh daripada peserta yang berjaya menamatkan latihan terdiri daripada kakitangan bahagian operasi di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan seliaan agensi itu.
“Alhamdulillah, kami berterima kasih kerana dengan adanya inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak KPS Berhad dan Cality Care ini, ramai dalam kalangan warga kerja di Darul Hanan dapat menambah ilmu baharu, membantu kami menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti selepas ini,” katanya.
Seorang peserta, Wan Aisya Nurul Jannah Wan Yusof, 30, berkata, walaupun telah berpengalaman selama enam tahun dalam menjaga warga emas, selepas mengikuti inisiatif KPS Berhad Caregiver, dia mendapat pengalaman serta ilmu baharu yang boleh dipraktikkan selepas ini.
“Sebagai contoh, saya lebih berani untuk membuat keputusan ketika menguruskan warga emas yang mempunyai penyakit tertentu berbanding sebelum ini.
“Saya mendapat tahu mengenai KPS Berhad Caregiver daripada rakan yang pernah menyertai inisiatif itu sebelum ini,” katanya.
Nur Izzati Syazwani Ideris, 30, pula berkata, sebelum menyertai inisiatif tersebut, dia pernah menguruskan Allahyarham ibunya yang didiagnosis menghidap kanser.
“Penjagaan ibu saya yang uzur pada masa itu sangat rumit. Namun, saya perlu bersabar. Pada masa itu juga, saya sebenarnya sudah mula tertarik untuk menjadikan caregiver sebagai kerjaya sepenuh masa,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai guru tabika. – UTUSAN
The post Lebih 350 peserta terima manfaat Inisiatif KPS Berhad Caregiver sejak 2019 appeared first on Utusan Malaysia.




