
KARNIVAL Rakyat Karangkraf 2024 bakal mencatat sejarah baharu dengan kehadiran lebih 50 wanita bernama Siti dalam satu pertandingan anjuran SinarPlus.
Program Mencari Siti anjuran bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu membuka peluang kepada peserta bernama Siti dalam menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing untuk berentap pada Sabtu ini.
Menurut Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin, 'Siti' sebenar akan dipilih berdasarkan keupayaan dan ketangkasan menyelesaikan cabaran.
"Untuk menjadikan pertemuan antara ‘Siti’ ini lebih istimewa, kami akan mengadakan pertandingan seperti melipat baju paling kemas, mengasingkan beras, kacang hijau, lada hitam paling pantas; mengupas bawang dan pelbagai lagi.
“Pada hujung program, kita akan mengetahui siapakah ‘Siti’ yang terbaik antara yang terbaik. Pemenang akan berpeluang membawa pulang wang tunai sehingga RM700 berserta hadiah iringan lain,” ujar Meen.
Tambah beliau lagi, cabaran yang diberikan adalah berdasarkan ciri-ciri wanita melayu yang mampu membawa gelaran Siti sebagai wanita Melayu terakhir.
Bukan itu sahaja, nama berkenaan dipilih memandangkan ia begitu sinonim dengan wanita-wanita Melayu terdahulu.
Sekadar makluman, Mencari Siti merupakan satu program yang julung-julung kali diadakan. Ia bertujuan menghimpunkan seberapa ramai wanita yang bernama ‘Siti’ pada hari kedua karnival tersebut berlangsung.
Sehingga kini, aktiviti tersebut mendapat sambutan lebih 50 penyertaan.
Malah, pihak SinarPlus turut mengalu-alukan lebih ramai peserta yang berminat untuk menyertai program berkenaan.
"Pertandingan ini mendapat sambutan ramai yang mana sudah lebih 50 penyertaan dihantar untuk turut serta.



"Sehingga kini, kami masih membuka peluang kepada anda yang bernama ‘Siti’ dari seluruh Malaysia yang berminat tetapi masih belum berdaftar, bolehlah berbuat demikian sebelum 26 Julai ini,'katanya.
"Pada hujung program iaitu 27 Julai ini, kita akan mengetahui 'Siti'yang terbaik antara yang terbaik dan berpeluang membawa pulang wang tunai beserta hadiah iringan lain," ujarnya.
Justeru, bagi anda yang bernama ‘Siti’, jangan ketinggalan untuk menyertai pertandingan ini. Daftar DI SINI atau di Kod QR yang disediakan. Maklumat lanjut hubungi nombor tertera 019 232 9032.



