Lebih 600 Pekerja Google Meminta CEO Syarikat Tidak Menerima Kontrak AI Pentagon

WorldPolitics
28 Apr 2026 • 1:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Lebih 600 kakitangan Google termasuk yang bertugas di DeepMind, menandatangani surat kepada CEO Sundar Pichai yang mendesak syarikat menolak penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi tugasan sulit oleh Pentagon.

Kakitangan menyatakan kebimbangan mengenai etika penggunaan AI pada senjata autonomi, operasi ketenteraan tanpa garis panduan keselamatan dan pengawasan besar-besaran domestik oleh tentera Amerika Syarikat.

Image from: Lebih 600 Pekerja Google Meminta CEO Syarikat Tidak Menerima Kontrak AI Pentagon

Tambah mereka lagi sistem AI boleh memusatkan kuasa dan ia boleh melakukan kesilapan. Oleh kerana penglibatan mereka dengan teknologi AI mewujudkan tanggungjawab untuk mengetengahkan dan mencegah penggunaannya yang paling tidak beretika dan berbahaya.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) memilih Google Gemini 3 sebagai model AI yang akan digunakan inisiatif GenAI.mil pada Disember tahun lalu. Kerisauan mengenai penggunaannya pada senjata autonomi dan pengawasan besar-besaran menyebabkan Anthropic menghalang model mereka digunakan. Pentagon membalas halangan ini dengan mengenakan sekatan terhadap Anthropic walaupun Claude digunakan untuk menyerang Iran bulan lalu.

Ini bukan kali pertama kakitangan Google menentang penggunaan teknologi syarikat bagi tujuan ketenteraan. Demo menentang Project Maven (2018) dan Project Nimbus (2024) telah dilakukan sebelum ini. Dalam kes Project Nimbus, 28 kakitangan dibuang kerja selepas melakukan demo di dalam pejabat CEO bagi menentang penggunaan teknologi oleh Israel untuk menindas warga Palestin.