Lebih 600 terima geran tanah di Ranau

LocalPolitics
26 Apr 2025 • 8:44 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Clarence Dol

RANAU: Lebih 600 penduduk kampung menerima geran tanah dalam Majlis Penyerahan Geran Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas) yang diadakan di sini pada Selasa.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Abidin Madingkir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan, yang menyifatkan majlis itu sebagai bersejarah bagi penduduk kawasannya.

“Geran tanah merupakan aset yang sangat bernilai dan akan dinikmati oleh generasi akan datang.

“Menjadi keutamaan saya untuk mengusahakan pengeluaran geran-geran ini dan kami bersyukur kerana mempunyai Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) yang sangat komited membantu,” katanya.

Abidin berkata, penyerahan geran tanah Pantas seterusnya akan dilakukan di Kg Narawang, Waluhu dan Lutut dalam masa terdekat.

Menurut beliau, Program Pantas adalah satu inisiatif Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selain program lain seperti Syukur, program pembangunan modal insan dan sebagainya.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membiayai Program Pantas di seluruh Sabah. Ini merupakan antara program kerajaan di bawah hala tuju Pembangunan SMJ 1.0. Semua ini adalah program untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru kepada semua penduduk Kg Sagindai dan Kg. Sungangon supaya terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan GRS dan memberikan mandat baharu kepada Kerajaan GRS agar Pelan Pembangunan SMJ 2.0 dapat diteruskan selepas PRN17,” katanya.

PPHT Ranau Jaidi Adrian Gulis berkata program bersejarah di Kg. Sagindai Lama, Kg. Sagindai Baru dan Kg. Sungangon ini terlaksana hasil inisiatif Abidin.

“Ekoran kekurangan kerja ukur tanah di Kg. Sagindai dan disebabkan masalah permohonan tanah yang bertindih, pada 2019, Abidin telah meminta agar Program Ukur Pantas dilaksanakan di Kg. Sagindai Lama, Kg. Sagindai Baru dan Kg. Sungangon.

“Beliau sanggup memberikan RM10,000 sebagai dana permulaan agar program ini dapat dilancarkan di ketiga-tiga kampung ini.

“Walaupun pada awalnya mendapat bantahan, kini peta Kg. Sagindai dipenuhi dengan tanah-tanah yang telah diukur dan diberikan geran,” katanya.

Tambahnya, pada 18 Oktober 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan gimik penyerahan geran Pantas, dan pada 25 Februari 2025, penyerahan rasmi telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, jumlah keseluruhan geran tanah yang telah dikeluarkan dan akan diserahkan kepada penerima adalah 650 bagi ketiga-tiga kampung iaitu Kg. Sagindai Baru, Sagindai Lama dan Kg. Sungangon. Sementara itu, Pengerusi Pelaksana Roslan Sakandal merakamkan ucapan terima kasih kerana akhirnya berpeluang memiliki geran tanah hasil usaha wakil rakyat itu dan juga Jabatan Tanah dan Ukur Ranau.

Beliau mewakili penduduk kampung menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan Abidin dan juga Jabatan Tanah dan Ukur Ranau kerana berjaya merealisasikan impian mereka untuk memiliki geran tanah.

Ketua kampung Didimus Jain turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen dalam merealisasikan pengurusan pengeluaran geran tanah. Ini, katanya, menunjukkan kecekapan Jabatan Tanah dan Ukur yang diterajui oleh Jaidi.