Lebih 8,000 usahawan PKS India mohon bantuan perniagaan

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 1:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 8,000 usahawan PKS India mohon bantuan perniagaan

PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi memperluas Program Uyarvu MADANI susulan menerima 8,368 permohonan daripada usahawan kecil, khususnya golongan B40.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, jumlah permohonan yang tinggi menunjukkan ramai usahawan memerlukan bantuan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Lebih 8,000 permohonan yang kita terima merupakan jumlah besar dan jelas menunjukkan ramai usahawan kecil, termasuk golongan B40 yang sedang berusaha untuk maju, memerlukan bantuan ini,” katanya di sidang media Majlis Perasmian Program Harmoni MADANI dan Dharma MADANI di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan dijangka dapat membantu antara 1,100 hingga 1,150 usahawan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 program berkenaan iaitu satu daripada enam inisiatif inisiatif baharu di bawah MITRA bagi 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan RM65.5 juta.

“Bagi pusingan seterusnya, kita bukan sahaja akan memohon peruntukan tambahan, malah melihat sumber dana lain yang boleh digunakan, termasuk menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN Nasional,” katanya.

Ramanan berkata, Uyarvu MADANI menawarkan geran sehingga RM50,000 bagi setiap pemohon, manakala sesetengah penerima akan menerima RM20,000 atau RM30,000 mengikut keperluan.

Beliau berkata, berbeza dengan kemudahan pembiayaan menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia dan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional, bantuan Uyarvu MADANI diberikan dalam bentuk geran dan bukan pinjaman.

“Bantuan ini perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak mempunyai peluang mendapatkan pinjaman, tetapi perniagaan mereka masih berpotensi untuk berjaya,” katanya. – UTUSAN

 

The post Lebih 8,000 usahawan PKS India mohon bantuan perniagaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved