
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyalurkan bantuan sebanyak RM3.28 juta kepada 164 rumah ibadat Hindu, Sikh dan Kristian masyarakat India bagi memperkukuh peranan institusi berkenaan dalam pembangunan komuniti.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, bantuan menerusi kedua-dua program itu bukan sahaja menyokong keperluan rumah ibadat, malah membolehkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan.
“Antara program itu ialah dalam bidang pendidikan, pembangunan kerohanian dan sahsiah, kebudayaan serta pemerkasaan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Program Dharma MADANI dan Harmoni MADANI di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas peranan rumah ibadat sebagai institusi yang turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Katanya, sebanyak RM1.9 juta diluluskan kepada 95 rumah ibadat Hindu di bawah Program Dharma MADANI Fasa 2, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program itu RM15.42 juta melibatkan 771 rumah ibadat di seluruh negara.
Sementara itu, menurutnya, Program Harmoni MADANI Siri 1 meluluskan RM1.38 juta kepada 69 rumah ibadat, terdiri daripada 57 gurdwara dan 12 buah gereja.
“Setiap rumah ibadat berkenaan menerima RM20,000 bagi menyokong aktiviti keagamaan, kebudayaan dan kemasyarakatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan, termasuk penyediaan papan pintar kepada semua sekolah Tamil dan komputer riba baharu kepada pelajar universiti menerusi program Kalvi MADANI.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peningkatan peruntukan MITRA daripada RM100 juta kepada RM150 juta yang akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh peranan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat India. – UTUSAN
The post RM3.28 juta perkasa 164 rumah ibadat India appeared first on Utusan Malaysia.




