Lebih 8 juta pengguna domestik terima manfaat peningkatan aras perlindungan bil elektrik - TNB

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 5:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 8 juta pengguna domestik terima manfaat peningkatan aras perlindungan bil elektrik - TNB Image from: Lebih 8 juta pengguna domestik terima manfaat peningkatan aras perlindungan bil elektrik - TNB hamden18/09/2026 - 17:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept - Lebih lapan juta atau sehingga 90 peratus pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menerima manfaat susulan keputusan kerajaan meningkatkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Shamsul Ahmad berkata peningkatan aras perlindungan itu merangkumi tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding penetapan sebelum ini bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam mendepani fenomena cuaca panas dan jerebu.

 

“Sebagai syarikat utiliti nasional, keutamaan TNB adalah untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap dalam tempoh yang mencabar ini. 

 

“Pada masa yang sama, TNB akan terus memainkan peranan secara proaktif untuk membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara lebih cekap melalui akses kepada maklumat, teknologi dan pilihan penggunaan tenaga yang bersesuaian,” katanya dalam sidang media mengenai perkara itu di sini, hari ini.

 

Menerusi keputusan kerajaan itu, kesemua pengguna domestik dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan daripada caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) lapan peratus, serta caj peruncitan RM10 dalam bil bulanan mereka.

 

Pelaksanaan perlindungan tambahan itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik bermula September hingga 31 Dis 2026, dengan jumlah pengurangan bagi bulan September akan dikreditkan secara terus dalam bil elektrik bulan Oktober.

 

Bagi menampung pengecualian caj AFA dan caj peruncitan sepanjang tempoh berkenaan, TNB dijangka menanggung implikasi kewangan berjumlah antara RM120 juta hingga RM150 juta.

 

Mengulas lanjut, Shamsul berkata penstrukturan itu turut melindungi pengguna daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global berikutan krisis geopolitik di Asia Barat.

 

Meskipun diberikan perlindungan tambahan, TNB menasihati pengguna supaya kekal mengamalkan langkah kecekapan tenaga termasuk memantau penggunaan menerusi aplikasi myTNB.

 

tnb01

 

Kekal amal penggunaan tenaga secara cekap

Menurut TNB, keadaan pasaran kos bahan api global ketika ini turut dipengaruhi krisis di Asia Barat, manakala penggunaan elektrik meningkat susulan cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda negara.

 

Sehubungan itu, TNB menasihatkan pengguna supaya terus mengekalkan amalan penggunaan tenaga secara cekap, khususnya ketika negara berdepan cabaran gelombang cuaca panas dan jerebu.

 

TNB menyarankan empat langkah praktikal bagi membantu pengguna mengawal penggunaan elektrik.

 

Pertama, pengguna digalakkan memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, sama ada secara bulanan atau harian bagi pengguna yang mempunyai meter pintar.

 

Kedua, pengguna disaran mengamalkan kecekapan tenaga dengan menetapkan penyaman udara antara 24°C hingga 26°C serta menggunakan pemasa. 

 

Pengguna juga digalakkan menggunakan peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

 

Ketiga, pengguna boleh beralih kepada skim Time of Use (TOU) dengan menggunakan tenaga pada waktu luar puncak, iaitu antara 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat, serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi menikmati kadar tarif yang lebih rendah.

 

Keempat, pengguna boleh mempertimbangkan pelaburan dalam solar bumbung. Di bawah inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home, pengguna layak menerima rebat sehingga RM3,000 bagi sistem 5kWac, dengan tempoh pulangan modal sekitar lapan tahun. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved