hamden18/09/2026 - 17:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept - Pengguna domestik yang menikmati peluasan perlindungan bil elektrik bagi penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan akan mula melihat kesannya menerusi bil elektrik Oktober.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, ini kerana bil bulan berkenaan akan dikira berdasarkan penggunaan elektrik bermula 1 September.
"Penggunaan berkuat kuasa adalah mulai 1 September, manakala kesannya akan dilihat pada bil Oktober. Anda akan melihat pengurangan yang agak ketara pada bil Oktober," katanya pada sidang media hari ini.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peluasan perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan.
Langkah itu berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik dari September hingga 31 Disember.
Di bawah mekanisme baharu itu, pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800kWj sebulan dilindungi daripada Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), caj peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8%.
Shamsul berkata, sebagai syarikat utiliti nasional, keutamaan TNB adalah untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap dalam tempoh yang mencabar ini.
Katanya, pada masa yang sama, TNB akan terus memainkan peranan secara proaktif untuk membantu pengguna mengurus penggunaan elektrik secara lebih cekap melalui akses kepada maklumat, teknologi dan pilihan penggunaan tenaga yang bersesuaian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Kewangan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) atas keprihatinan terhadap perkembangan semasa, khususnya dalam mengambil kira keperluan dan kepentingan rakyat.

8 juta atau 90% pengguna domestik terima manfaat
Sementara itu dalam kenyataannya TNB berkata, lebih lapan juta atau sehingga 90% pengguna domestik bakal menerima manfaat daripada peningkatan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kWj kepada 800kWj sebulan.
Katanya, peningkatan aras perlindungan itu bersamaan tambahan hampir satu juta pengguna domestik berbanding aras sebelumnya.
Menerusi langkah berkenaan, TNB dijangka menanggung caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) dan caj peruncitan berjumlah sekitar RM120 juta hingga RM150 juta sepanjang tempoh perlindungan tambahan itu berkuat kuasa.
"TNB menyambut baik keputusan kerajaan untuk terus memperkukuhkan mekanisme perlindungan pengguna domestik elektrik dengan menaikkan aras perlindungan tersebut.
"Langkah peningkatan aras perlindungan itu diambil bagi mengurangkan impak penggunaan elektrik terhadap kos sara hidup pengguna, selain memastikan rakyat terus dilindungi daripada perubahan kadar AFA yang dipengaruhi ketidaktentuan pasaran kos bahan api global," katanya.
Menurut TNB, keadaan pasaran kos bahan api global ketika ini turut dipengaruhi krisis di Asia Barat, manakala penggunaan elektrik meningkat susulan cuaca panas dan jerebu yang sedang melanda negara.
Kekal amal penggunaan tenaga secara cekap
Bagaimanapun, TNB menasihatkan pengguna supaya terus mengekalkan amalan penggunaan tenaga secara cekap, khususnya ketika negara berdepan cabaran gelombang cuaca panas dan jerebu.
TNB menyarankan empat langkah praktikal bagi membantu pengguna mengawal penggunaan elektrik.
Pertama, pengguna digalakkan memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, sama ada secara bulanan atau harian bagi pengguna yang mempunyai meter pintar.
Kedua, pengguna disaran mengamalkan kecekapan tenaga dengan menetapkan penyaman udara antara 24°C hingga 26°C serta menggunakan pemasa.
Pengguna juga digalakkan menggunakan peralatan elektrik dengan penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.
Ketiga, pengguna boleh beralih kepada skim Time of Use (TOU) dengan menggunakan tenaga pada waktu luar puncak, iaitu antara 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat, serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bagi menikmati kadar tarif yang lebih rendah.
Keempat, pengguna boleh mempertimbangkan pelaburan dalam solar bumbung. Di bawah inisiatif Solar ATAP dan SuRIA Home, pengguna layak menerima rebat sehingga RM3,000 bagi sistem 5kWac, dengan tempoh pulangan modal sekitar lapan tahun. - DagangNews.com






