Lebih 8 juta pengguna nikmati perlindungan bil elektrik lebih tinggi

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 5:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 8 juta pengguna nikmati perlindungan bil elektrik lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka menanggung kos antara RM120 juta hingga RM150 juta bagi melindungi lebih lapan juta pengguna domestik daripada beberapa caj bil elektrik susulan peluasan aras penggunaan layak perlindungan kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kos berkenaan meliputi caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) dan caj peruncitan sepanjang tempoh perlindungan tambahan itu berkuat kuasa.

Katanya, kos berkenaan akan ditanggung TNB bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.

“Menerusi peningkatan aras berkenaan, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 800 kWj dan ke bawah sebulan akan dikecualikan daripada caj AFA, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10.

“Perlindungan tambahan itu akan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September 2026 hingga 31 Disember 2026,” katanya kepada pemberita dalam Taklimat Bersama Media di Pusat Konvensyen Leo Maggie di sini hari ini.

Menurut Shamsul Ahmad, keputusan kerajaan itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 90 peratus pengguna domestik TNB, membabitkan tambahan hampir satu juta pengguna berbanding aras perlindungan sebelum ini pada 600 kWj sebulan.

Beliau berkata, bagi penggunaan elektrik pada September, jumlah pengurangan caj berkenaan akan dikreditkan dalam bil elektrik yang diterima pengguna pada Oktober.

“Ini bermakn, hampir satu juta pengguna tambahan akan mendapat manfaat daripada perlindungan ini berbanding aras sebelum ini.

“Secara keseluruhan, lebih lapan juta pengguna domestik atau sehingga 90 peratus daripada pengguna TNB akan menikmati perlindungan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peluasan aras perlindungan tersebut merupakan langkah yang akan membantu mengurangkan beban pengguna domestik yang menggunakan elektrik dalam lingkungan berkenaan.

Menerusi keputusan kerajaan itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 800 kWj dan ke bawah sebulan akan menikmati pengecualian daripada caj AFA, SST sebanyak lapan peratus serta caj peruncitan RM10.

Perlindungan tersebut bagaimanapun hanya terpakai sepanjang tempoh yang ditetapkan, iaitu bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026. – UTUSAN 

The post Lebih 8 juta pengguna nikmati perlindungan bil elektrik lebih tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved