Lebih 80% eksport negara April 2024 disumbang Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL - DOSM

28 May 2024 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebih 80% eksport negara April 2024 disumbang Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan KL - DOSM

herman

28/05/2024 - 12:53

KUALA LUMPUR 28 Mei - Sebanyak 81.9% eksport negara pada April 2024 tertumpu kepada lima negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam penerbitan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri April 2024, DOSM berkata, daripada lima negeri itu, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 30.1%, diikuti oleh Johor (20.4%) dan Selangor (18.5%).

"Ini diikuti Sarawak 8.2% dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 4.7%," katanya hari ini.

image is not available

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport bernilai RM114.7 bilion pada April 2024, meningkat sebanyak RM9.5 bilion (+9.1%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (+RM3.0 bilion), Sarawak (+RM2.1 bilion), Pulau Pinang (+RM1.4 bilion) dan W.P. Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion).

Ini diikuti Perak yang meningkat RM894.4 juta, Terengganu (+RM826.4 juta), Sabah (+RM669.2 juta), Johor (+RM534.0 juta), Kelantan (+RM164.9 juta) dan W.P. Labuan (+RM7.2 juta).

image is not available
DR MOHD UZIR MAHIDIN

"Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Kedah sebanyak RM669.7 juta, Pahang (-RM377.0 juta), Negeri Sembilan (-RM125.6 juta), Perlis (-RM26.7 juta) dan Melaka (-RM25.6 juta)," jelasnya.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Dr. Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan April 2024 meningkat RM14.5 bilion (+15.6%) berbanding bulan yang sama pada 2023.

Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (+RM4.0 bilion), Pulau Pinang (+RM3.6 bilion), Johor (+RM1.6 bilion), Melaka (+RM1.3 bilion), Kedah (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM770.8 juta), Pahang (+RM532.9 juta), W.P. Kuala Lumpur (+RM520.9 juta), Sarawak (+RM479.4 juta), Perak (+RM228.3 juta), Terengganu (+RM125.8 juta), Sabah (+RM121.1 juta) dan Perlis (+RM9.6 juta).

"Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di W.P. Labuan sebanyak RM41.1 juta dan Kelantan (-RM19.3 juta).

"Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 27.2 peratus, diikuti oleh Johor (21.6%), Pulau Pinang (21.0%), W.P. Kuala Lumpur (7.5%) dan Kedah (5.9%)," ujarnya.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM221.7 bilion pada April 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM114.7 bilion dan RM107.0 bilion.- DagangNews.com