Lebih 9,000 ketagih dadah: Majoriti di Sabah dalam kumpulan umur 15 hingga 39 tahun

LocalHealth & Fitness
20 Mar 2025 • 2:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Clarence Dol

Kota Kinabalu: Seramai 9,207 penyalahguna dan penagih dadah dikesan di seluruh Sabah tahun lepas. Angka tidak rasmi mungkin lebih banyak.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah Elmariah Chung berkata 65.8 peratus daripada mereka yang terlibat berumur 15 hingga 39 tahun.

“Memang membimbangkan kita semua apabila golongan muda, khususnya golongan belia mendahului bilangan ini kerana mereka adalah pewaris masa depan negara ini.

“Cabaran dalam menangani penyalahgunaan dan ketagihan dadah semakin kompleks, antaranya ialah kewujudan Bahan Psikoaktif Baharu (NPS) dan penyalahgunaan ketum, vape dan sebagainya.

“Justeru, Sukarelawan Anti Dadah melalui Skuad Anti Dadah, Ikon Anti Dadah dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) diwujudkan untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan, khususnya AADK dan ejen pencegahan (Skuad dan Ikon) serta ejen pemulihan iaitu JKPD,” katanya.

Peranan sukarelawan ini amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dan pemulihan dapat diperkasakan melalui penggunaan idea dan komitmen bersama.

“Semua pihak mesti bekerjasama. AADK tidak boleh memikul tanggungjawab ini tanpa penglibatan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Latihan Pelatih Skuad Anti Dadah (TOT) dan Majlis Ramah Mesra Pengarah AADK Negeri Sabah Bersama Rakan Strategik 2025 baru-baru ini.

Elmariah berkata penganjuran TOT Skuad Anti Dadah kali ini merupakan salah satu usaha memberi ilmu dan kemahiran kepada kepimpinan Skuad Anti Dadah dalam menjalankan fungsi sebagai Sukarelawan Anti Dadah.

Bengkel dua hari itu melibatkan warga AADK Daerah dan Negeri Sabah, pengerusi Skuad Anti Dadah dan JKPD serta Ikon Anti Dadah di Sabah.

Tujuannya adalah untuk merancang program bersama JKPD dan Ikon Anti Dadah dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di Sabah khususnya di Kawasan Berisiko Tinggi (HRA).