
Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah (YS) menawarkan Insentif Rebat Madani kepada peminjam pinjaman pengajian bermula April hingga Jun tahun ini.
Inisiatif ini membolehkan peminjam yang melunaskan baki pinjaman secara sekali gus, menikmati rebat sebanyak 30 peratus daripada jumlah baki pinjaman mereka.
Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar, program ini diperkenalkan sebagai tanda keprihatinan Kumpulan Yayasan Sabah dalam meringankan beban peminjam serta menggalakkan penyelesaian pinjaman secara penuh.
Ia juga sebagai penghargaan kepada peminjam yang konsisten membuat bayaran, sehingga membolehkan Kumpulan Yayasan Sabah mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM6.6 juta setahun bagi dua tahun berturut-turut iaitu 2023 dan 2024.
“Seperti kaedah sedia ada, pembayaran boleh dibuat melalui Maybank2u bagi pelanggan Maybank, serta JomPAY dan perkhidmatan telegraf bagi bank lain.
“Kumpulan Yayasan Sabah turut menyediakan alternatif lain seperti Arahan Tetap Bank, draf bank, cek, pembayaran tunai atau Kad Debit di kaunter di Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, serta di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu,” kata beliau dalam kenyataan, Isnin.
Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada peminjam, Kumpulan Yayasan Sabah juga melancarkan Portal Pembayaran Balik Pinjaman bulan ini.
“Portal ini berfungsi sebagai platform maklumat bagi peminjam yang telah menamatkan pengajian, menawarkan akses kepada maklumat pembayaran, insentif rebat, polisi pinjaman, soalan lazim, serta saluran perhubungan dengan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, portal ini boleh diakses di https://www.yayasansabahgroup.org.my/bppp/index.html. Selain itu, orang ramai boleh melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088 atau e-mel [email protected] untuk keterangan lanjut.



