Lebih 9 jam Rafizi 'hadap' SPRM

LocalPolitics
4 May 2026 • 7:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 9 jam Rafizi 'hadap' SPRM
Rafizi (tengah) ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM, pada Isnin.

PUTRAJAYA - Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dirakam keterangan lebih sembilan jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Rafizi berkata, siasatan berjalan seperti biasa dan setakat ini semuanya dalam keadaan baik.

"Prosesnya berjalan seperti biasa, setakat ini, Ahamdulillah, semuanya okey, juga seperti biasa.

"Mereka tanya, kita jawab, tetapi mengenai sudut siasatan yang spesifik, itu saya tidak boleh ulas, kamu semua lebih tahu, ada perkara yang memang tidak boleh," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.

Menurutnya, beliau diminta hadir semula ke ibu pejabat SPRM pada Selasa bagi menyambung proses siasatan.

"Saya akan datang semula esok. Saya diminta hadir semula pukul 10 pagi, seperti biasa. Jadi, saya memang beri kerjasama penuh.

"Sesi tadi selesai sekitar pukul 6.40 petang, jadi, lebih lapan jam bermula dari pukul 10 pagi, saya masuk tadi lebih awal, kira-kira 9.30 pagi, dan soal siasat bermula sekitar pukul 10," katanya.

Katanya, pihak SPRM turut memberikan ruang rehat termasuk waktu makan sepanjang sesi berlangsung.

"Memang ada rehat untuk solat dan makan, saya pula sedang berdiet, jadi makan seperti biasa sahaja, waktu makan tengah hari juga dikira sebagai working lunch," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula dalam tempoh beberapa hari bergantung kepada keperluan siasatan.

"Saya tidak menolak kemungkinan proses merakam keterangan ini akan mengambil beberapa hari, kita tidak tahu berapa banyak lagi soalan yang akan ditanya.

"Jumlah soalan juga saya tidak kira, ia berlangsung dari pagi hingga petang, jadi memang banyak," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Menteri Ekonomi itu dirakam keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Keterangan itu diambil bagi membantu siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK dalam satu perjanjian kerjasama strategik industri semi konduktor.

Terdahulu, suasana di pekarangan pintu masuk hadapan ibu pejabat SPRM itu mula dipenuhi pengamal media yang menanti sejak awal pagi.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi dipanggil untuk dirakam keterangan pada Isnin ini jam 10 pagi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 22 keterangan telah diambil termasuklah dalam kalangan Menteri dan juga pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.

Ujar beliau, SPRM pada minggu lalu telah merakam keterangan bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu Chai Jin Shern atau James Chai.