Lebih banyak inisiatif untuk rakyat pada Hari Malaysia, Belanjawan 2027

LocalPolitics
30 Aug 2026 • 5:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih banyak inisiatif untuk rakyat pada Hari Malaysia, Belanjawan 2027

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa lagi inisiatif kerajaan sempena sambutan Hari Malaysia di Sarawak dan pembentangan Belanjawan 2027.

Menurut Anwar, pengumuman tersebut menyusul enam ikhtiar segera yang diumumkan menerusi Amanat Perdana Hari Kebangsaan hari ini bagi menangani kebimbangan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.

Katanya, enam ikhtiar itu termasuk mengembalikan kelayakan asas Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 kepada 300 liter sebulan serta meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Kerajaan turut memperluas Program AI Untuk Rakyat kepada golongan belia dengan menawarkan langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan kepada 100,000 peserta yang melengkapkan modul ditetapkan.

Selain itu, peruntukan RM1 bilion disediakan bagi memperkukuh transformasi digital sektor kesihatan awam termasuk pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan peningkatan ketersambungan internet di hospital serta klinik kerajaan.

Dua lagi ikhtiar melibatkan kenaikan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun serta tambahan RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro.

Kerajaan turut memperkenalkan Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam dan golongan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.

“Semoga ikhtiar ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban rakyat serta memberikan makna yang nyata kepada sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Insya-Allah, beberapa pengumuman lain akan saya sampaikan ketika sambutan Hari Malaysia di Sarawak serta Belanjawan 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, beliau dan seluruh pasukan Kerajaan Madani akan terus mendengar suara serta keresahan rakyat.

“Kami akan terus bekerja keras untuk memastikan setiap kejayaan negara diterjemahkan kepada limpahan manfaat yang dirasai rakyat serta kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah,” katanya. – UTUSAN

The post Lebih banyak inisiatif untuk rakyat pada Hari Malaysia, Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved