
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam langkah baharu yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, termasuk subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kesihatan, kecerdasan buatan (AI), pembiayaan mikro dan bantuan kepada peniaga kecil.
Dalam amanat sempena malam Hari Merdeka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar berkata kuota bulanan bahan api di bawah inisiatif BUDI MADANI akan dikembalikan kepada 300 liter bagi RON95 dan 400 liter bagi diesel.
“Saya perlu mencari jalan dan mengambil langkah yang dapat memberikan kelegaan kepada rakyat,” katanya.
Kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan itu RM1.5 bilion, berbanding RM1 bilion sebelum ini.
Peruntukan berkenaan akan meliputi semua jenis sekolah di seluruh negara.
Bagi golongan belia pula, kerajaan akan menyediakan langganan perkhidmatan AI secara percuma selama tiga bulan kepada 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Jelas Perdana Menteri, penerima perlu melengkapkan modul pembelajaran AI menerusi platform Rakyat Digital terlebih dahulu sebelum layak menerima langganan percuma berkenaan.
"Dalam sektor kesihatan, kerajaan menyediakan RM1 bilion bagi mempercepatkan rawatan serta mengurangkan tempoh menunggu pesakit, termasuk melalui penggunaan rekod kesihatan elektronik dan penambahbaikan capaian WiFi.
"Inisiatif itu akan dilaksanakan di 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan di seluruh negara," katanya.
Bagi membantu perusahaan mikro, jumlah pembiayaan pula akan ditingkatkan daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion, sekali gus menyediakan tambahan RM1 bilion kepada usahawan mikro.
Selain itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan menerusi Geran Sejahtera MADANI bagi membantu peniaga kecil, termasuk penjaja dan peniaga pasar malam.
Dalam perkembangan berkaitan e-Invois, Anwar turut mengumumkan kenaikan had jualan tahunan bagi pengecualian daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
Kesemua langkah berkenaan diumumkan menerusi amanat Hari Merdeka Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, sehari sebelum Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-69 esok. - Getaran, 30 Ogos 2026






