Lebih Daripada Sekadar Paparan – Bagaimana Samsung Mengubah Cara Kita Berhubung?

TechnologyDigital
18 Jun 2025 • 6:01 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bayangkan situasi ini. Anda sedang menikmati rancangan kegemaran di telefon sambil berdiri dalam tren yang sesak pada waktu puncak. Apabila semakin hampir ke destinasi, anda hanya perlu melipat telefon tersebut lantas menyimpannya dengan mudah ke dalam poket tanpa bimbang mengenai saiz skrin dan ketahanannya. Inilah antara kelebihan nyata teknologi paparan pintar yang dibangunkan oleh Samsung yang kini bukan sahaja merevolusikan cara kita berinteraksi dengan peranti malah menjadi sebahagian daripada gaya hidup moden yang pantas.


Bagaimana Teknologi Tersebut Direalisasikan?

Walaupun proses pembangunannya mencabar, pencapaian ini bukan sesuatu yang mustahil. Melalui penyelidikan mendalam, pembangunan berterusan, dan pelaburan besar dalam bidang inovasi, Samsung telah berjaya mencipta teknologi paparan canggih yang kini menjadi asas kepada pelbagai peranti pintar, termasuk peranti boleh lipat.

image is not available
Flexible OLED

Dengan kepakaran dalam bidang paparan pintar dan kejuruteraan elektronik, Samsung merevolusikan landskap industri peranti mudah alih global. Segalanya bermula dengan pengenalan teknologi Flexible OLED merupakan paparan yang boleh dilentur tanpa menjejaskan kualiti visual. Apa yang dahulunya dianggap sebagai konsep futuristik kini menjadi asas utama kepada pelbagai model peranti terkini.

image is not available
Flexible OLED

Samsung sekali lagi mencipta penanda aras baharu dengan memperkenalkan panel OLED mudah alih yang dilengkapi pembaca cap jari terbina serta sensor kadar degupan jantung. Dikenali sebagai Sensor OLED iaitu teknologi ini mampu mengesan data biometri seperti cap jari dan tekanan darah secara langsung melalui permukaan skrin. Ia menggabungkan teknologi optik dan penderia digital canggih menjadikan skrin lebih pintar yang bukan sekadar untuk paparan, tetapi juga sebagai platform interaktif masa depan.

image is not available
Sensor OLED Display

Pada masa sama, Samsung turut mempelopori pembangunan teknologi Rollable Flex iaitu paparan boleh gulung yang boleh diubah saiz mengikut keperluan pengguna. Teknologi ini membolehkan sesuatu peranti digunakan dalam pelbagai situasi, sama ada sebagai paparan kecil yang mudah alih atau paparan besar untuk tugasan kerja. Gabungan inovasi-inovasi ini membuktikan bahawa Samsung bukan sahaja berjaya mengatasi cabaran teknikal malah terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam industri teknologi paparan.

image is not available
Rollable Flex

Paparan OLED yang dibangunkan oleh Samsung berasaskan prinsip molekul organik yang memancarkan cahaya apabila arus elektrik mengalir melaluinya. Setiap piksel berfungsi sebagai sumber cahaya kendiri, dan tidak seperti paparan LCD yang memerlukan pencahayaan latar. Keunikan ini membolehkan paparan OLED direka lebih nipis, lebih cekap tenaga, dan mampu menghasilkan visual berkualiti tinggi termasuk kontras yang mendalam serta warna yang lebih terang dan hidup

image is not available
Thin-Film Encapsulation

Salah satu cabaran utama dalam pembangunan Flexible OLED ialah keperluan melindungi bahan organik daripada terdedah kepada oksigen, kelembapan dan unsur lain yang boleh merosakkan. Bagi menangani isu ini, Samsung membangunkan penebat filem nipis (Thin-Film Encapsulation) yang digabungkan dengan substrat polimer seperti polyimide.

Dalam konteks kimia, substrat merujuk kepada bahan, sebatian atau ion yang mengalami perubahan semasa tindak balas kimia. Hasilnya, paparan boleh dilentur ribuan kali tanpa menjejaskan fungsi atau kualiti visualnya.

image is not available
Ultra-Thin Glass

Untuk memastikan peranti boleh lipat berfungsi sebaiknya dan tahan lama, Samsung memperkenalkan teknologi Ultra-Thin Glass (UTG). Kaca ultra-nipis ini, tebalnya kurang daripada 100 mikrometer, cukup kukuh untuk melindungi paparan sambil mengekalkan ketajaman visual. Digabungkan dengan engsel mikro berkualiti tinggi yang diuji mampu menahan lebih 200,000 lipatan, teknologi ini boleh memastikan kestabilan paparan serta keselesaan pengguna tidak terjejas walaupun selepas penggunaan berulang.


Revolusi Dunia Paparan Mudah Alih Bermula

Rollable Flex membuka lembaran baharu dalam dunia teknologi paparan mudah alih. Dengan keupayaan untuk memanjang dan memendek secara mekanikal mengikut keperluan, ia memperkenalkan dimensi penggunaan yang lebih fleksibel. Ciri ini menjadikan Rollable Flex serba boleh daripada telefon pintar bersaiz kompak kepada tablet paparan luas, sekali gus bersedia merevolusikan pelbagai peranti pintar pada masa hadapan.

image is not available
Rollable Flex

Pada masa yang sama, paparan Sensor OLED bukan sahaja berfungsi sebagai medium visual malahan bertindak sebagai alat biometri pintar. Ia mampu mengesan tekanan darah dan cap jari pengguna melalui teknologi Photoplethysmography (PPG) iaitu teknik optik selamat yang tidak memerlukan sebarang prosedur fizikal yang menembusi tubuh. Ia turut digunakan secara meluas dalam penyelidikan dan pemantauan kadar denyutan yang berkait rapat dengan perubahan isipadu darah.

image is not available
Sensor OLED Display

Sementara itu, sensor sentuhan membolehkan skrin telefon membantu menjaga kesihatan pengguna. Teknologi ini membolehkan peranti Samsung digunakan dalam bidang perubatan pintar dan aplikasi kesihatan. Dengan memasukkan sensor pintar ke dalam skrin, Samsung menjadikan telefon bukan sekadar alat komunikasi tetapi alat mudah alih untuk memantau kesihatan secara peribadi dan mudah digunakan.


Pembekal Utama Jenama Terkemuka

Kejayaan Samsung tidak hanya bergantung kepada pembangunan produknya sendiri. Melalui anak syarikatnya, Samsung Display, mereka turut memainkan peranan penting sebagai pembekal utama kepada jenama teknologi terkemuka seperti Apple, Oppo, dan OnePlus.

image is not available
OPPO Find N5

Sebagai contoh, model iPhone Pro menggunakan paparan OLED keluaran Samsung kerana kecekapan tenaganya yang tinggi serta kadar segar semula yang lancar. Pada masa sama, OnePlus dan Oppo memilih paparan Flexible OLED Samsung untuk peranti mercu mereka bagi menjamin kualiti visual yang terbaik. Dominasi pasaran ini disokong oleh keupayaan Samsung dalam pengeluaran berskala besar, reka bentuk transistor filem nipis (TFT) yang cekap, serta ketahanan paparan yang tinggi termasuk bertahan terhadap kesan terbakar (burn-in) menjadikan syarikat ini pilihan utama dalam industri paparan digital global.

image is not available
Samsung Galaxy S25 Ultra

Lebih mengagumkan apabila ketahanan paparan Samsung yang terbukti mampu berfungsi dengan baik dalam keadaan ekstrem. Beberapa laporan mendakwa bahawa peranti Galaxy S25 Ultra mampu menyerap hentakan serpihan logam dalam situasi bersenjata dan memberikan perlindungan kepada penggunanya. Malah, terdapat laporan bahawa Galaxy S20 pernah menahan tembakan peluru dan bertindak sebagai penghalang fizikal yang menyelamatkan nyawa.

Kejadian-kejadian ini menekankan kepentingan penggunaan bahan berkualiti tinggi seperti titanium dan komposit polimer yang bukan sahaja tahan lasak malahan menawarkan perlindungan tambahan dalam situasi tidak diduga.


Kesimpulan

image is not available

Samsung telah mengubah landskap paparan digital dalam dunia moden melalui gabungan kejuruteraan bahan, reka bentuk berkualiti dan integrasi fungsi pintar. Melalui komitmen terhadap penyelidikan serta pelaksanaan teknologi canggih, mereka bukan sahaja memacu revolusi teknologi pengguna malah turut membentuk standard baharu dalam aspek keselamatan dan pengalaman harian pengguna hari ini.