Lebih ramai kanak-kanak Sabah perlukan pembedahan jantung

LocalHealth & Fitness
19 Oct 2026 • 9:59 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebih ramai kanak-kanak Sabah perlukan pembedahan jantung

Kota Kinabalu: Lima pesakit jantung kanak-kanak dari Sabah termasuk empat berusia bawah dua tahun berjaya menjalani pembedahan jantung tahun ini namun lebih ramai lagi memerlukan rawatan segera berikutan peningkatan permintaan terhadap rawatan kardiak pediatrik.

Presiden Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) Datuk Eva Susau berkata keperluan untuk menjalani pembedahan pembetulan jantung tahun ini melebihi kemampuan kewangan persatuan itu.

“Menjelang Ogos 2026, persatuan sudah menggunakan keseluruhan bajetnya untuk menaja rawatan pesakit muda.

“Penyakit jantung kongenital menjejaskan kira-kira seorang daripada setiap 100 bayi yang dilahirkan.

“Bagi keluarga di Sabah mendapatkan rawatan pakar juga mungkin memerlukan perjalanan jauh dari rumah selain menanggung kos pengangkutan, penginapan dan perubatan yang menambah beban kewangan.

“Ramai kanak-kanak ini memerlukan rawatan segera yang tidak mampu ditanggung oleh keluarga mereka,” katanya menerusi kenyataan persatuan itu.

Eva menegaskan bahawa keperluan terhadap rawatan berkenaan terus meningkat.

Lima pesakit yang menerima tajaan SOSHF antara Januari hingga September lalu menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mereka berasal dari Inanam, Semporna, Kinarut dan Keningau, dan semuanya sudah pulang ke rumah untuk menjalani proses pemulihan bersama keluarga masing-masing.

Ditubuhkan pada 1982, SOSHF menyediakan bantuan kewangan kepada pesakit jantung di Sabah yang memerlukan rawatan pakar khususnya kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan jantung.

Memandangkan peruntukan rawatan persatuan itu sudah habis digunakan, SOSHF kini bergantung pada sumbangan orang ramai dan sokongan korporat bagi membiayai rawatan kanak-kanak yang dirujuk kepada persatuan itu dalam beberapa bulan akan datang.

Bagi mengumpul dana, SOSHF akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun Ke-45 pada 11 April 2027 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dijangka menghadiri majlis itu sebagai tetamu kehormat.

Majlis berkenaan turut menampilkan persembahan penghibur tempatan termasuk bekas pesakit SOSHF yang akan menyanyi dan bermain piano.

“Selama 45 tahun, persatuan ini bersama para penderma yang bermurah hati terus membantu kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit jantung.

“Tahun ini keperluan meningkat lebih pantas daripada kemampuan kewangan kami dan bajet 2026 sudah habis digunakan.

“Setiap tiket, setiap meja dan setiap ringgit yang disumbangkan memberi peluang kepada seorang kanak-kanak untuk membesar dengan sihat.

“Kami mengajak semua orang untuk bersama-sama menyertai usaha ini dan menjadi wira jantung,” jelas Eva.

Orang ramai serta organisasi korporat juga boleh menyalurkan sumbangan terus kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah menerusi akaun Maybank bernombor 5101 4311 2262.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, tajaan meja atau sumbangan, orang ramai boleh menghubungi Dicksonal menerusi talian 019-880 1270 atau e-mel sosheart.sabah@gmail.com.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved