
TOKYO: Tasik kawah berwarna hijau zamrud di timur Jepun kembali menjadi tumpuan pelancong kelmarin, selepas kawasan itu dibuka semula kepada orang ramai buat pertama kali dalam tempoh lebih lapan tahun susulan penurunan tahap amaran gunung berapi.
Pekan Kusatsu di Wilayah Gunma menarik balik sekatan kemasukan ke kawasan sekitar Tasik Kawah Yugama di Gunung Kusatusu-Shirane, yang terletak antara Wilayah Gunma dan Nagano.
Pengunjung memenuhi laluan pejalan kaki dan pelantar tinjauan untuk melihat keindahan tasik tersebut, manakala kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di jalan raya berhampiran.
Yoichi Takeshita, 59, yang berkunjung bersama isterinya, berkata dia tertarik untuk melihat tasik itu selepas mendengar berita kawasan berkenaan dibuka semula selepas lapan tahun.
“Saya pertama kali melihat tasik itu dan amat terpesona dengan keindahannya,” katanya.
Sekatan itu dikuatkuasakan sejak April 2018 selepas Agensi Meteorologi Jepun menaikkan tahap amaran gunung berapi itu kepada tahap dua, dengan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawah.
Agensi itu menurunkan tahap amaran kepada tahap satu, iaitu tahap terendah dalam skala lima, pada Mei 2026.
Bagaimanapun, orang ramai masih perlu berwaspada kerana gunung berapi itu kekal aktif.
Kawasan tasik kawah itu akan dibuka kepada pengunjung sehingga 8 November ini sebelum ditutup untuk musim sejuk mulai 9 November.- AGENSI
The post Pelancong serbu tasik kawah selepas 8 tahun ditutup appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-12-at-1.13.18-PM-1024x766.jpeg)

