Lebih RM17 juta diperuntuk untuk naik taraf, aktiviti di 1,766 kuil

24 Jun 2023 • 1:34 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk RM17.36 juta bagi bantuan kewangan kepada persatuan rumah ibadat kuil di Selangor dari 2014 hingga kini.

EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) V Ganabatirau berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,766 kuil menerima manfaat tersebut.

“Sejak 2008, Kerajaan Selangor telah menyusun langkah yang efisien, kemas dan teratur dalam pengurusan kepentingan penganut selain Islam di negeri ini.

“Justeru, pada 2009, Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah peruntukan untuk disalurkan kepada rumah ibadat ini bagi tujuan pembaikan, menaik taraf, aktiviti atau kelas agama dan kelengkapan prasarana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kewangan Kepada Persatuan Rumah Ibadat Selain Islam (Kuil) di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semalam.

Ganabatirau berkata beliau berharap segala bantuan dan peruntukan diterima pihak kuil itu dapat dimanfaatkan sebaiknya dengan aktiviti berfaedah.

“Kerajaan Negeri berharap segala bantuan dan peruntukan yang diterima dapat dimanfaatkan selain berusaha memperkasa golongan muda dan warga tua dengan kehidupan berasaskan kerohanian,” katanya.