Lebih RM200 juta pulangan tunai diraih pengguna melalui platform beli-belah Shopback
zulfadli
14/08/2023 - 09:50
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Lebih daripada RM200 juta pulangan tunai diraih pengguna Malaysia setakat ini melalui platform beli-belah terkemuka Asia Pasifik, Shopback.
Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Eddy Han berkata, dengan lebih lima juta pengguna, ShopBack menawarkan pelbagai jenama dan ganjaran pulangan tunai di Malaysia serta menjadi rakan pemasaran pilihan bagi lebih 10,000 peruncit dan jenama di dalam dan di luar talian.
Katanya, menerusi kemudahan ShopBack Pay atau PayLater, pengguna dapat mengakses jaringan pekedai ShopBack untuk membeli-belah dan meraih ganjaran melalui jenama-jenama kegemaran mereka seperti Christy Ng, Jovian, JD Sports, Agoda, Puma, Bata, Marks & Spencer, Jakel dan banyak lagi.
"Kami ingin terus membekalkan kemudahan ini dengan membolehkan para pengguna juga meraih pulangan tunai melalui pembelian di dalam kedai.
"Pengguna kini boleh memilih untuk membuat bayaran penuh atau membahagikan bayaran mereka kepada ansuran bulanan, lalu memperoleh ganjaran apabila mereka membayar dengan ShopBack di kedai-kedai terlibat.
"ShopBack bermatlamat untuk menjadi rumusan pilihan bagi menjana permintaan buat pekedai, begitu juga dengan pembeli-belah kami yang dapat mengakses jaringan rakan pekedai kami untuk berjimat di sebalik kenaikan kos dan tekanan inflasi," katanya dalam kenyataan media di sini.
Han berkata, pihaknya komited untuk terus memperkayakan pengalaman membeli-belah para pekedai dan juga pengguna dengan memperkenalkan pelbagai kemudahan membeli-belah yang inovatif lagi berbaloi.

Katanya, mereka menjangkakan bahawa perkhidmatan ShopBack Pay dan PayLater akan menjadi kemudahan teras dalam produk-produk yang lain, justeru menunjangi misi untuk mencorak sebuah pengalaman membeli-belah yang lebih memuaskan.
Ganjaran pulangan tunai daripada ShopBack kini ditawarkan di kedai-kedai fizikal melalui rumusan pembayaran ShopBack – PayLater di samping khidmat bayaran penuh yang baharu.

Lebih daripada lima juta pengguna ShopBack yang sebelum ini hanya dapat menikmati pulangan tunai dengan pembelian dalam talian, juga dapat meraih pulangan tunai apabila mereka membuat pembelian secara fizikal di kedai-kedai yang terlibat.
Sementara itu, ShopBack akan 'mengambil alih' outlet Christy Ng di Sunway Pyramid dan juga outlet Jovian di Shah Alam dengan sesi 'Cashbackholic' yang mana pembeli-belah dapat menebus hadiah terjamin dan meraih pulangan tunai bonus segera bernilai RM15 dengan perbelanjaan terkumpul sebanyak RM300 yang dibuat di dalam kedai melalui ShopBack.
Pembeli-belah juga pasti akan teruja dengan peluang untuk memenangi 100% pulangan tunai apabila mereka membuat bayaran dengan ShopBack di kedai-kedai terpilih seperti Puma, Aster Spring, Jakel, Alhumaira, Kapten Batik, Ariani dan banyak lagi mulai hari ini sehingga 31 Ogos 2023. - DagangNews.com


