
SANDAKAN: Sebanyak 99 daripada 200 projek di bawah sektor pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah berjaya disiapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keseluruhan 200 projek tersebut melibatkan kos RM4.54 bilion.
“Sebanyak 99 projek bernilai RM568.2 juta telah siap, 33 projek bernilai RM2.58 bilion masih di peringkat pra-pembinaan, manakala 68 projek bernilai RM1.395 bilion sedang dalam pembinaan.
“Daripada jumlah itu, 197 adalah projek Kementerian Pendidikan manakala tiga lagi projek di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Jelasnya, pihaknya sentiasa berusaha memperbaiki prasarana pendidikan yang diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program turun padang ke Projek Pembinaan Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih, Sandakan, Khamis.
Dalam lawatan itu, beliau meninjau kemajuan projek pembinaan semula SK Batu Putih Baru, Sandakan.
Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina dengan Eastbourne Corporation Berhad sebagai kontraktor dilantik, manakala Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana.
“Projek ini amat perlu dilaksanakan kerana bangunan asal berusia 42 tahun sudah terlalu uzur. Pelaksanaan semula pembinaan ini akan memastikan ekosistem pembelajaran dan pengajaran yang moden, berkualiti dan kondusif, sekali gus mencemerlangkan akademik serta kokurikulum anak-anak generasi akan datang,” katanya.
Dengan kos kontrak bernilai kira-kira RM43.89 juta, projek ini melibatkan kerja merobohkan Bangunan Pentadbiran, Bangunan Akademik dengan kapasiti 18 bilik darjah, prasekolah, kantin serta kemudahan lain.
Projek ini bermula pada 24 Februari lalu dan berjalan mengikut jadual dalam tempoh kontrak, dijangka siap sepenuhnya pada 22 April 2029.
Sementara itu, Ahmad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM18 juta bagi membaiki dan menyelenggara jalan rosak di laluan Pan Borneo pakej 25 dan 26 dari Bulatan Batu 6 ke Bulatan Sukau, Kinabatangan.
Beliau turut meninjau sendiri keadaan jalan berkenaan dan berkata kerja-kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan secepat mungkin demi kemudahan pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan telah mengarahkan JKR membuat taksiran anggaran kerosakan yang perlu diperbaiki di semua kawasan dilanda banjir di Pantai Barat Sabah yang melibatkan jalan dan lebuh raya persekutuan.


