NILAI - Beratus pemilik kenderaan terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan masing-masing selepas Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Nilai di sini dilanda banjir kilat pada Khamis.
Beberapa video dimuat naik di media sosial menunjukkan laluan empat lorong terbabit yang menghala ke utara dan selatan ditenggelami air.
Kejadian itu dipercayai berlaku susulan hujan lebat sejak jam 6.30 petang.
Pihak PLUS memaklumkan trafik mengalami kesesakan sejauh 12 kilometer (km) dari Kajang ke Nilai disebabkan banjir kilat di KM287 yang menyebabkan semua lorong terhalang.
"Lorong kecemasan dan kiri arah utara terhalang menyebabkan kesesakan sejauh 5 km dari Nilai ke Bangi.
"Hentian Nilai arah utara juga ditutup," katanya.
Kejadian banjir turut dipercayai berlaku di Pekan Nilai apabila beberapa kawasan dinaiki air.


