Nahas beberapa kenderaan berat, trafik lebuh raya Behrang-Slim River 'terhenti' 4km

3 Mar 2026 • 6:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan kemalangan melibatkan beberapa kenderaan di di Kilometer 378.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Behrang ke Slim River pada Selasa.
image is not available
Maklumat awal yang dikongsi menerusi aplikasi X oleh Plus Trafik memaklumkan, nahas yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan semua lorong terhalang.

TANJUNG MALIM - Trafik sesak sejauh kira-kira empat kilometer susulan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk lori dan bas di Kilometer 378.0 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dari Behrang ke Slim River pada Selasa.

Maklumat awal yang dikongsi menerusi aplikasi X oleh Plus Trafik memaklumkan, nahas yang berlaku sekitar jam 4.30 petang itu menyebabkan semua lorong terhalang.

Menurut makluman itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dengan keluar di Plaza Tol Behrang bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk.

Berdasarkan video tular berdurasi 57 saat yang dirakam pengguna jalan raya, sekurang-kurangnya enam kenderaan berat dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

**media[3451730]**

Antara kenderaan yang terlibat ialah beberapa lori termasuk sebuah lori yang dilihat melintang di tengah laluan selain sebuah lagi lori yang terbabas ke bahu kiri jalan.

Turut kelihatan dalam rakaman berkenaan ialah sebuah van dan sebuah bas yang dipercayai terlibat dalam kemalangan sama.

Keadaan itu menyebabkan laluan arah utara terhalang sepenuhnya dan trafik terhenti.

Status terkini setakat jam 5.33 petang, lorong kanan telah dibuka kepada trafik manakala lorong kiri dan lorong tengah masih ditutup bagi kerja pengalihan.