Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 Dijangka Siap Sepenuhnya 2029 – Tun Musa

11 Apr 2025 • 11:06 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah: Siap Sepenuhnya Menjelang 2029

Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 Dijangka Siap Sepenuhnya 2029 – Tun Musa. Sabah kini berada di landasan kukuh untuk mencapai kemajuan infrastruktur yang lebih menyeluruh dengan pelaksanaan pelbagai projek besar yang merangkumi lebuh raya, bekalan air bersih, sistem pembetungan dan tenaga boleh diperbaharui.

Rakyat Sabah bakal menikmati kemudahan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 sepanjang lebih 706 kilometer apabila ia siap sepenuhnya pada tahun 2029. Projek mega ini bukan sahaja mempercepatkan perhubungan antara daerah, malah berperanan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri.

image is not available

Lagi 4 perkara dalam pembangunan selari dengan lebuhraya Pan Borneo Sabah

Menurut Musa, pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya dan kemudahan asas adalah antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri. Justeru, kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Fasa 1 lebuh raya ini agar dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.

Bekalan Air Bersih: Strategi 3 Serampang Menuju Masa Depan

Dalam usaha memastikan akses berterusan kepada bekalan air terawat, kerajaan telah merangka tiga strategi utama:

  1. Meningkatkan pengeluaran air terawat,
  2. Melaksanakan projek bekalan air baharu,
  3. Meluaskan liputan bekalan air ke kawasan luar bandar.

Tambahan pula, projek Ulu Padas Water Supply Scheme (SBAUP) akan dilaksanakan dan diintegrasikan dengan Upper Padas Hydroelectric Project (UPHEP) di Tenom sebagai sumber air lestari untuk kawasan Pantai Barat Sabah dalam jangka panjang.

Sistem Pembetungan dan Kesedaran Awam

Dalam aspek pengurusan pembetungan, infrastruktur sedia ada akan dinaik taraf dan diperluaskan ke kawasan yang belum menerima perkhidmatan. Program pendidikan awam mengenai penyelenggaraan sistem pembetungan turut akan dipertingkatkan bagi memastikan sistem kekal berfungsi dengan baik.

Bekalan Elektrik: Margin Rizab Meningkat ke 29% Menjelang Akhir Tahun

Untuk meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah, pelbagai langkah mitigasi pantas telah dilaksanakan, termasuk:

  • Naik taraf Pencawang Masuk Utama (PMU) di Jalan Dam, Lahad Datu,
  • Pemasangan Capacitor Bank di Tawau.

Kedua-dua projek ini dijangka siap dalam tahun ini, sekaligus meningkatkan margin rizab tenaga Sabah daripada kurang 10% kepada 29% menjelang akhir tahun.

Menuju 50% Tenaga Boleh Diperbaharui Menjelang 2035

Kerajaan negeri turut memfokus kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui sebagai sebahagian daripada Agenda Peralihan Tenaga dan matlamat neutral karbon menjelang 2050. Dua projek hidroelektrik di sepanjang Sungai Padas dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030. Di bawah Sabah Hydro Development Masterplan, lebih banyak projek hidroelektrik dikenal pasti untuk dilaksanakan hingga tahun 2040.

Selain hidro, Sabah turut memberi tumpuan kepada projek tenaga seperti solar, geoterma, angin, bioenergi dan teknologi penukaran tenaga laut (Ocean Thermal Energy Conversion – OTEC). Semua inisiatif ini selaras dengan strategi Ekonomi Biru Sabah.

Menutup perincian, Musa turut mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Sabah (SEEAP) pada hujung tahun ini bagi menyokong penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mapan.