
Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mahu kecekalan dan komitmen yang ditunjukkan pelatih Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) semasa latihan diteruskan sepanjang menjalankan tugas sebagai anggota pasukan penyelamat di lapangan.
Beliau berkata masyarakat memandang tinggi kepada kecekapan, kesiapsiagaan dan pengorbanan anggota bomba dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara dan dijaga dalam perkhidmatan yang dianggap sebagai satu profesion mulia.
“Saya percaya ilmu yang diperoleh khususnya melalui modul latihan asas Kursus Sijil Sains Kebombaan ini akan mengubah pelatih daripada seorang awam kepada anggota perkhidmatan beruniform, menyebarkan budaya kerja yang dibentuk oleh keperibadian unggul, keberanian dan sikap tidak mementingkan diri sendiri.
“Justeru, saya mahu kesemua 148 anggota baharu ini memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang menjalani latihan bagi menjalankan tugas dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Perbarisan Pentauliahan Sijil Sains Kebombaan 1/2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu di sini pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Menteri dianugerahkan pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba Kehormat dalam satu Istiadat Penganugerahan Pangkat Kehormat yang disempurna-kan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato Sri Ts Mohammad Hamdan Wahid.
Turut menerima anugerah itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba Kehormat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Abdul Razak Muda.
Hajiji juga mengalu-alukan usaha JBPM untuk mengambil langkah proaktif dengan menempatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), yang mempunyai kepakaran khusus dan cekap untuk menjalankan kerja menyelamat di pergunungan.
“Tragedi gempa bumi Gunung Kinabalu pada 2015 telah memberi pengajaran kepada kita untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi bencana sebegini dan penubuhan MoSAR adalah tindakan yang tepat.
“Berdasarkan statistik menyelamat oleh MoSAR, sebanyak 26 penyelamatan telah dilaksanakan oleh pasukan itu bagi tahun 2022 dari Januari hingga Jun.
“Kecemerlangan sesebuah pasukan atau organisasi adalah berdasarkan tahap disiplin warganya.
“Justeru, penjawat awam diseru untuk sentiasa mengamalkan integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba di atas segala jasa yang diberikan oleh “Wira Merah” dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan nyawa dan harta benda khususnya di Sabah.
