
ADA cerita sedih terpalit pada pelumba trek legenda negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang di temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Penyertaannya dalam acara keirin dibatalkan kerana beliau memotong derny (pacer) sebelum masa dibenarkan pada Heat 1 pusingan kelayakan.
Penulis sangat mengharapkan Azizulhasni ‘memerah’ basikal WX-R Vorteq (yang berharga RM385,800) menerusi acara keirin selepas perjuangannya terhenti pada suku akhir acara sprint 200 meter.
Penulis perlukan data kayuhan Azizulhasni untuk menyiapkan pe-nyelidikan berkaitan pelumba itu yang dimulakan sejak 2018 lagi.
Penulis kempunan data mengkaji daya sesondol (cam) tersembunyi dalam kayuhannya iaitu seperti aci sesondol (camshaft) enjin sebuah kereta bagi menghasilkan daya tujahan maksimum ketika menggunakan basikal WX-R Vorteq.
Penulis sangat kagum dengan kehebatan juara dunia acara keirin Kejohanan Trek Sedunia 2017 di Hong Kong, China itu memecahkan rekod kebangsaan dilakukannya ketika menjuarai acara sprint Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC 2023) di Nilai, Negeri Sembilan. Di Paris, Azizulhasni merakam masa 9.402 saat mengatasi rekod lama 9.523 saat.
Jadi, tidak salah jika penulis mengharapkan data lebih ‘bernilai’ menerusi acara keirin. Penulis berhubung dengan beberapa tokoh basikal negara termasuk wartawan kanan yang sering membuat liputan berbasikal di peringkat dunia.
Antara pendapat diterima penulis ialah Azizulhasni harus dibenar meneruskan kayuhan pada perlumbaan yang turut menampilkan pemenang pingat gangsa dari Australia, Matthew Glaetzer. Sehingga kini, penulis masih tercari-cari faktor sebenar kehebatan Azizulhasni.
Seorang sahabat yang mengekori Azizulhasni sejak 2006 menegaskan pelumba itu memiliki kekuatan mental yang sangat luar biasa dan attitude tidak gentarkan sesiapa pun. Dengan ketinggian 1.66 meter, Azizulhasni bersaiz sederhana.
Tidak seperti dua trio Belanda – Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland yang tampak seperti gergasi di atas trek, namun Azizulhasni membuktikan beliau sentiasa boleh menewaskan Lavreysen serta Hoogland dalam acara keirin.
Ketika membentangkan kajian kes bertajuk Cycling Performance Biomechanics On Track Racing Beyonds Cyclist Physiological Profile di Universitatsstrasse, Insbruck, Austria pada September 2018 sempena Kongres Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), penulis menggariskan faktor cadien yang sangat luar biasa sebagai punca ke-hebatan Azizulhasni.
Beliau dipercayai boleh lebih 135 kali sepusingan dalam masa 60s. Azizulhasni juga pernah merakam kelajuan maksimum hampir mencapai 96.7 kilometer sejam (km/j). Penulis juga ingin tahu adakah WX-R Vorteq boleh mengatasi rakaman masa tersebut.
Dengan berakhirnya Paris 2024, penulis berharap boleh menyudahkan penyelidikan berkaitan Azizulhasni. Antara teori sentiasa berlegar di minda – adakah daya tujahan sesondol dalaman beliau boleh melebihi 2,000 kiloNewtons (kN) ketika crank pedal berada pada sudut antara 60 darjah dan 150 darjah kanan serta kiri bagi mencapai kelajuan 96.7 km/j dalam tempoh 10s jika menggunakan WX-R Vorteq?
Aspek lain yang dikaji ialah kayuhan Azizulhasni daripada perspektif biometrik, struktur badan pelumba, biomekanik dan arah daya kaki semasa melakukan kayuhan menghasilkan Force Cycling Loop dan Torque Cycling Loop.
Aspek penggunaan WX-R Vorteq yang mempunyai roda berdiameter besar biasanya antara 650c (571mm) dan 700c (622mm) dengan tayar tiub dikembungkan (tubular tires inflated) kepada tekanan sangat tinggi untuk rintangan guling paling minimum turut dikaji.
Mungkin selepas ini penulis boleh mula mengkaji tentang Mohd Shah Firdaus Sahrom. Senario menggalakkan manusia mencapai kecemerlangan dikiaskan ALLAH SWT surah Al-Muthaffifiin (83:26-28) dan surah Al Baqarah (2:216).
Masih terngiang-ngiang di telinga penulis komentar pengulas wanita di Paris 2024 yang menyebut Malaysia hanya small nation pada peta berbasikal dunia sebelum ketibaan Azizulhasni. Rasanya Mohd Shah Firdaus boleh meneruskan legasi Azizulhasni.
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)


