Legenda Hurling Ireland Dipenjara 5 Tahun Kerana Scam Duit, Guna Kabel Cas Telefon Tipu Hidap Kanser

5 Nov 2025 • 5:53 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sesiapa sahaja individu yang pernah menyumbang kepada negara pastinya menjadi insan yang dihormati oleh orang ramai.

Oleh itu, kisah mengenai insan yang bergelar legenda sering sahaja menjadi perhatian orang terdekat termasuklah peminat mereka.

Namun ia bukanlah satu alasan untuk menggunakan kepercayaan yang diberikan untuk tujuan menipu sehingga akhirnya menjerat diri sendiri.

Bekas pemain sukan hurling di Ireland dipenjara 5 tahun kerana tipu duit

Baru-baru ini seorang legenda sukan tradisional hurling dari Ireland, DJ Carey telah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun setengah.

Hukuman tersebut dikenakan selepas bekas pemain Kilkenny itu mengaku bersalah menipu rakan serta keluarga untuk menyerahkan ratusan ribu euro dengan mendakwa dia menghidap kanser.

Tipu kenalan dengan kabel pengecas telefon putih

Menurut Harian Metro yang memetik Metro UK, DJ Carey memperoleh sekitar 400,000 euro (sekitar RM1.94 juta) dengan memalsukan rekod perubatan.

Malah lebih mengejutkan dia menggunakan kabel pengecas telefon berwarna putih sebagai alat perubatan palsu untuk menyakinkan mangsa (mengenai penyakitnya).

Dakwa akan dapat duit dari HSE untuk bayar semula duit mangsa

Bukan hanya itu, bekas atlet itu turut mendakwa akan mendapat wang sebanyak satu juta euro (sekitar RM4.84 juta) dari Eksekutif Perkhidmatan Kesihatan (HSE) untuk membayar semula duit mangsa.

Namun sebenarnya bekas pemain hurling itu mempunyai masalah jantung dan bukanlah kanser.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Denis O’Brien turut meminjamkan wangnya kepada Carey dengan sebanyak lebih 125,000 euro (sekitar RM605,000) untuk ‘rawatan kanser’ serta pembayaran pinjaman.

Bukan hanya itu, ahli perniagaan itu turut memberikan Carey kereta serta penginapan percuma kepadanya.

Selain itu rakan golf serta Persatuan Sukan Gaelic (GAA), Thomas Butler juga memberikan Carey wang berjumlah 16,360 euro (sekitar RM79,222) dari jumlah pencen untuk bekas pemain hurling terbabit bagi rawatan perubatannya dengan mengeksploitasi pengalaman Thomas Butler yang sebelum ini kehilangan ibu bapanya disebabkan kanser.

Gambar dengan kabel cas telefon jadi bahan kecaman

Penularan gambar bekas pemain hurling tersebut yang dilihat seperti berada di atas katil hospital dengan kabel palsu itu kemudiannya menjadi bahan kecaman.

Perkara itu juga menandakan kejatuhan Carey sebagai lagenda GAA.

Ekoran daripada perkara itu, mahkamah di Dublin mengambil kira sebanyak lapan tuduhan tambahan bagi penghakiman selain 10 tuduhan utama penipuan, sewaktu menjatuhkan hukuman penjara terhadap Carey pada 3 November yang lalu.

Hakim sifatkan Carey eksploitasi sifat baik orang terhadapnya

Hakim turut menegaskan legenda sukan itu sebagai ahli sukan yang terkenal dalam ‘hurling’ serta bola tangan, namun motifnya (menipu) tidak dapat difahami kerana dia ketika ini berdepan dengan ejekan termasuk penghinaan awam.

“Dia mengeksploitasi sifat baik orang.

“Sukar untuk mengetahui apa yang mendorong Carey, tetapi sejak dia mengaku bersalah, dia menjadi sasaran ejekan dan penghinaan awam serta nama baiknya mungkin tidak akan pulih sepenuhnya,” jelas hakim itu.

Siasatan polis dapati tiada sebarang rekod Carey jalani rawatan di AS

Dalam pada itu BBC melaporkan, kesemua mangsa adalah saudara, rakan dan rakan sekerja yang mengenalinya menerusi kerjaya Carey.

Siasatan pihak polis Ireland turut mendapati tiada sebarang rekod menyatakan Carey menghidapi kanser atau mendapat rawatan di luar negara.

Mahkamah diberitahu Carey memaklumkan kepada mangsa-mangsanya dia mendapatkan rawatan di Seattle, Amerika Syarikat dan memerlukan sumbangan untuk rawatan.

Dalam masa sama tiada sebarang rekod pembayaran tertunggak terhadap HSE atau hospital dan dia tidak berkunjung ke Amerika Syarikat sejak 2015.

Sewaktu disoal siasat pada Disember 2022, Carey mengakui dia membuat cerita mengalami sakit seperti kanser untuk memberikannya masa memandangkan dia mempunyai hutang yang besar dengan Allied Irish Banks (AIB) dan meminta bantuan kewangan dari orang ramai.

View Original Article