
JOHOR BAHRU – Program yang semakin popular di rantau Asia Pasifik khususnya di Malaysia, Legoland School Challenge tahun 2026 telah berjaya menonjolkan bakat pereka muda dari Filipina pertama kali dinobatkan sebagai juara kategori sekolah menengah.
Pasukan AJHS BluBLOC dari Ateneo de Manila Junior High School dari Filipina itu bakal menikmati percutian menakjubkan ke Legoland Shanghai, China turut berkongsi tempat sebagai juara kategori sekolah rendah dimenangi oleh Kumpulan Puteri Mini Makers dari SK Cyberjaya, Selangor manakala The Mavericks dari SK Kubang Kerian 3, Kelantan meraih gelaran Juara Kategori Sekolah Rendah
Pereka-pereka muda dari Malaysia dan Filipina telah dinobatkan sebagai juara di Legoland School Challenge 2026, edisi kelima pertandingan membina Lego antara sekolah terbesar di Asia, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pertandingan yang mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu telah mendapat sambutan yang baik daripada 451 penyertaan yang merentasi tiga kategori umur peserta dari enam buah negara iaitu Malaysia, India, Singapura, Filipina, Hong Kong dan China.

Cabaran yang telah bermula pada suku kedua tahun ini menyaksikan 15 kumpulan terbaik yang mara ke peringkat akhir bertempat di Legoland Iskandar Puteri dekat sini.
Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, di bawah tema ‘The Ultimate Theme Park Ride’, ia mempamerkan kreativiti, imaginasi, serta kemahiran teknikal mereka.
“Kami sangat gembira melihat Legoland School Challenge terus menginspirasikan pereka muda untuk melonjakkan kreativiti mereka ke tahap yang lebih tinggi pada setiap tahun.
“Dengan tema baharu bagi setiap edisi, para pelajar dicabar untuk meneroka idea-idea baharu serta merealisasikan imaginasi mereka menerusi Lego.
“Pada tahun ini, kami amat berbangga melihat bagaimana para pelajar mentafsirkan tema tersebut mengikut keunikan masing-masing, sekali gus mempamerkan kreativiti, kebolehan menyelesaikan masalah, dan semangat kerja berpasukan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang baru-baru ini.
Lim menjelaskan, pembelajaran di Legoland Malaysia Resort, boleh menjadi satu pengalaman yang menyeronokkan dan interaktif.
“Menerusi pembinaan Lego, kanak-kanak digalakkan untuk meneroka konsep STEM, menguji idea mereka, dan belajar daripada proses pembinaan, di samping membina keyakinan untuk berfikir secara kreatif serta menangani cabaran daripada pelbagai sudut perspektif.”
“Berteraskan DNA Lego iaitu ‘belajar melalui bermain’, Cabaran ini memberi ruang kepada para pelajar untuk meneroka konsep STEAM, membina keyakinan diri, dan mengekspresikan kreativiti sambil mengasah kemahiran kerja berpasukan, pemikiran kritis, serta penyelesaian masalah,” jelas beliau.
Pada tahun ini, Legoland Malaysia Resort sekali lagi bekerjasama dengan platform tempahan percutian global, Trip.com, untuk memberi ganjaran kepada pereka-pereka terbaik pertandingan ini.
Bagi juara kategori sekolah rendah dan menengah bakal menikmati percutian ke Shanghai, China, juara bagi kategori Junior pula memenangi percutian ke Legoland Malaysia, lengkap dengan susunan perjalanan serta pengalaman khas bagi memastikan percutian yang lancar.
Kesemua juara kategori juga akan menerima Pas Tahunan Legoland Malaysia, trofi ikonik Lego, set Lego untuk setiap ahli pasukan, serta sijil pencapaian sebagai pengiktirafan atas kreativiti, kerja berpasukan, dan kejayaan mereka sepanjang pertandingan.

Hasil ciptaan para finalis akan dipamerkan di Miniland, Legoland Malaysia Resort sehingga Disember 2026, memberi peluang kepada para pengunjung taman tema untuk melihat dengan lebih dekat kreativiti dan imaginasi di sebalik binaan hebat tahun ini.
Bagi kategori junior (umur antara 7 hingga 9 tahun) , hadiah tempat pertama dimenangi oleh Puteri Mini Makers, SK Cyberjaya, Selangor, Malaysia, naib juara adalah dari Temple Hill International School, Filipina, pasukan dari SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur dan tempat kelima adalah dari Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, Selangor.
Kategori Sekolah Rendah (peserta berumur 10 hingga 12 tahun) dimenangi oleh The Mavericks, SK Kubang Kerian 3, Kelantan; tempat ketiga adalah 67 BRICKS, SK Port Dickson, Negeri Sembilan; tempat keempat dimenangi oleh Brick Titan, SK Medini, Johor dan hadiah tempat kelima dibawa pulang oleh Temple Hill International School, Filipina.
Bagi kategori sekolah menengah, juaranya adalah AJHS BluBLOC, Ateneo de Manila Junior High School, Filipina, naib juara adalah pasukan dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya; pasukan dari , SM SetiaBudi, Selangor memenangi tempat ketiga, tempat keempat pula disandang oleh Putera Armycorp dari Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur dan tempat kelima adalah Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. -KOSMO! ONLINE
The post Legoland School Challenge tarik perhatian sekolah dari Asia Pasifik appeared first on Kosmo Online.


