Lelaki Amuk Di Tempat Kerja Isteri Beri Penjelasan, OT Tak Bincang Jadi Punca

17 Jun 2026 • 7:03 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pasangan suami isteri yang tular selepas dipercayai bertengkar di sebuah restoran makanan segera di Senai tampil menjelaskan keadaan sebenar bagi menepis pelbagai spekulasi yang timbul mengenai rumah tangga mereka.

Datang nak ambil isteri

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Mohd Hakeem Latif, 32, menyatakan insiden yang dirakam individu tidak dikenali itu sebenarnya berlaku pada April lalu ketika dia datang mengambil isterinya, Nurul Ain Mohd Mokhtar, 37, yang bekerja di restoran berkenaan.

Image from: Lelaki Amuk Di Tempat Kerja Isteri Beri Penjelasan, OT Tak Bincang Jadi Punca

Kejadian sudah lama berlalu

Menurutnya, ketika itu dia berada dalam keadaan tertekan kerana bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan, manakala isterinya pula perlu bekerja lebih masa selepas tamat syif.

“Saya datang ambil dia balik kerja jam 6 petang, tetapi dia pula perlu bekerja lebih masa.
“Itulah yang menyebabkan saya marah. Tetapi itu sudah lama berlaku, bukan baru-baru ini,” katanya.

Anak menangis sebab tersadung

Mohd Hakeem turut menjelaskan bahawa tangisan anak mereka yang berusia dua tahun dalam rakaman tersebut bukan berpunca daripada dimarahi atau dikasari, sebaliknya akibat terjatuh selepas tersadung di koridor.

Mengulas mengenai video yang tular, beliau mengakui dirinya seorang yang panas baran dan kadangkala meninggikan suara, namun menafikan pernah bertindak kasar terhadap isteri atau anaknya.

“Saya memang seorang yang baran hingga meninggikan suara, tapi itulah kadang-kadang boleh kawal, kadang-kadang tidak.
“Apa pun saya tidaklah pernah naik tangan terhadap isteri mahupun anak tunggal kami,” katanya lagi.

Image from: Lelaki Amuk Di Tempat Kerja Isteri Beri Penjelasan, OT Tak Bincang Jadi Punca

Menurutnya, penularan video berkenaan menyebabkan ramai individu menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan, malah ada yang menggesa isterinya supaya menuntut penceraian.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya.
“Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik dan saya tidak pernah terfikir ke arah itu,” katanya.

Isteri akui hubungan dengan suami baik-baik sahaja

Sementara itu, Nurul Ain turut menegaskan hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan berharap orang ramai tidak membuat andaian tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Ramai yang membuat kesimpulan sendiri sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar.
“Kami dalam baik-baik sahaja. Selepas suami tukar kerja baru di Kulai, urusan menjaga anak juga lebih teratur berbanding ketika suami bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini,” katanya.

Image from: Lelaki Amuk Di Tempat Kerja Isteri Beri Penjelasan, OT Tak Bincang Jadi Punca

Nurul Ain yang kini hamil tiga bulan turut meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan suaminya susulan kecaman diterima di media sosial. Dia berharap individu yang memuat naik rakaman tersebut dapat menurunkannya semula kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga.

Sumber: Sinar Harian (Nor Ainon Mohamed)

The post Lelaki Amuk Di Tempat Kerja Isteri Beri Penjelasan, OT Tak Bincang Jadi Punca appeared first on Borak Daily.