Polis berjaya menyelesaikan misteri kebakaran bersiri yang menggemparkan penduduk Kupang, Baling sejak Disember lalu apabila seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana dipercayai menjadi dalang kejadian tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek yang juga penduduk tempatan ditahan pada pukul 12.30 tengah malam, Isnin lalu, selepas siasatan mendalam terhadap sembilan insiden kebakaran yang berlaku dalam tempoh sebulan.
“Suspek dipercayai bertindak demikian akibat dendam selepas sering dibuli di tempat kerja lamanya dan turut dipulaukan penduduk setempat. Modus operandinya adalah dengan mencurahkan petrol ke atas motosikal sebelum membakarnya, menyebabkan api merebak hingga memusnahkan rumah mangsa,” katanya memetik laporan Harian Metro, Rabu, 22 Januari 2025.
Menurut Fisol, suspek pernah bekerja di sebuah kilang getah namun berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kejadian kebakaran pertama berlaku pada 24 Disember tahun lalu. Difahamkan, sebahagian mangsa kebakaran mengenali suspek, namun hubungan mereka tidak baik.
Kerugian mencecah RM770,000
Kejadian-kejadian kebakaran yang berlaku antara jam 2 pagi hingga 5 pagi itu menyebabkan sembilan rumah, dua kenderaan, dan 18 motosikal musnah. Kerugian dianggarkan berjumlah RM770,000, dengan sebuah rumah mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM300,000.
“Suspek kini direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana khianat dengan api,” tambah Fisol.
Penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang sebelum ini hidup dalam kebimbangan susulan kebakaran berturut-turut yang melibatkan motosikal dan merebak ke rumah sehingga memusnahkan harta benda.
Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, “Kami risau setiap malam kerana tidak tahu bila kebakaran akan berlaku lagi. Sekarang kami lega kerana suspek telah ditahan.”
Sumber: Harian Metro
The post Lelaki bakar 9 rumah akibat dendam, sering dibuli & dipulaukan appeared first on The Reporter.


