Misteri Terjawab, Dendam Sering Dibuli Di Tempat Kerja Punca Lelaki B*kar 9 Rumah Di Baling

Entertainment
23 Jan 2025 • 9:55 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kes kebakaran misteri di Kupang, Baling yang berlaku secara bersiri sejak Disember lalu akhirnya terjawab apabila polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 23 tahun pada Isnin lepas.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, kejadian itu berpunca daripada dendam suspek yang sering dibuli di tempat kerja selepas siasatan dilakukan.

“Suspek yang juga penganggur dan penduduk di Kupang itu ditahan pada tengah malam.

“Kesemua sembilan kes khianat dengan api yang dilakukan suspek adalah berpunca daripada perasaan dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya.

image is not available

Pada masa sama, suspek juga dipulaukan penduduk setempat dengan sebahagian mangsa dikenali pemuda tersebut.

Menurutnya, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kilang getah dan berhenti kira-kira tiga bulan sebelum kebakaran pertama berlaku.

“Polis percaya disebabkan perasaan dendam, dia bertindak membakar sembilan rumah dengan kerugian tertinggi sebanyak RM300,000,” ujarnya.

Modus operandi suspek adalah mencurahkan petrol ke atas motosikal lalu membakarnya sebelum merebak ke rumah penduduk.

image is not available

Kebakaran sembilan rumah dipercayai berlaku antara 2 pagi hingga 5 pagi, menyebabkan dua kenderaan dan 18 motosikal terbakar, dengan kerugian sebanyak RM770,000.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk meluahkan kerungsingan mereka berhubung kebakaran misteri yang berlaku secara berturut-turut.

Kebanyakan kebakaran membabitkan motosikal yang diletakkan di hadapan rumah mangsa, selain terdapat juga kejadian merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.