KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM4,000 selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki produk ubat tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pertuduhan dikemukakan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKLP) menerusi Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) di Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur pada 27 April lalu.
JKWPKLP berkata, tindakan itu susulan operasi penguatkuasaan ke atas sebuah premis di Jalan Tun Tan Siew Sin di sini pada 13 Februari lalu yang disyaki beroperasi seperti klinik serta menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan kepada warga Bangladesh.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
"Hasil tindakan tersebut, pihak penguat kuasa farmasi merampas sebanyak 35 jenis produk ubat tidak berdaftar yang dibawa masuk dari Bangladesh.
"Produk yang dirampas terdiri daripada ubat terkawal seperti ubat psikotropik, antibiotik, ubat tahan sakit, ubat bagi rawatan penyakit darah tinggi dan kencing manis serta ubat dalam bentuk suntikan dengan nilai rampasan RM6,100," katanya dalam kenyataan.
Tambah kenyataan itu, pemilikan dan penjualan produk ubat tidak berdaftar merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1), Akta Jualan Dadah 1952.
Tegasnya, sabitan dan hukuman itu diharap dapat menjadi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum agar tidak terbabit dalam aktiviti pemilikan, penjualan, pembekalan atau pengedaran produk ubat tidak berdaftar.
"Tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CPF Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran Malaysia," ujarnya.
Katanya lagi, selaras dengan usaha itu, KKM turut melaksanakan kempen kesedaran 'Tolak Ubat Tidak Sah' (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang.
"Maklumat lanjut mengenai kempen TOBaTS boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://pharmacy.moh.gov.my/tobats," ujarnya.
Menurutnya lagi, penjual dan pengedar diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan hanya produk kesihatan berdaftar dengan nombor MAL serta mempunyai pelekat keselamatan hologram Farmatag dijual.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya menyemak status pendaftaran produk kesihatan menerusi laman sesawang NPRA di www.npra.gov.my pada ruangan 'product search'," katanya.






