
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun dilepaskan dan dibebaskan (DNA) daripada dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.
Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain membebaskan lelaki itu pada Isnin, selepas dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa mangsa dan bapanya berhasrat untuk tidak meneruskan kes itu.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa mereka memutuskan untuk tidak meneruskan kes itu dan memohon supaya tertuduh diberi pelepasan tanpa pembebasan memandangkan kes itu dibawa untuk sebutan bagi mengetahui status hasil surat representasi.
Bagaimanapun, peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali yang mewakili lelaki terbabit, memohon supaya DNA diberikan kepada anak guamnya memandangkan mangsa dan bapanya tidak berminat untuk meneruskan kes berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu melakukan seks oral ke atasnya jam 10 malam pada Jun 2023 di sebuah rumah di Kg Marakau, Ranau.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan meminta kanak-kanak yang sama memegang alat sulitnya di tempat dan masa sama.
Pada 27 Mei 2024, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan wang jaminan yang telah dibayar oleh lelaki itu sebelum ini, dipulangkan kepadanya.
Sementara itu, dua wanita dan enam lelaki masing-masing dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Kelapan-lapan mereka mengaku terhadap pertuduhan dihadapi mereka dan ditahan baru-baru ini di kawasan bandaraya oleh polis selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Mahkamah memerintahkan pendatang tanpa izin itu menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap dan merujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.


