
KUALA LUMPUR, 27 NOV: Pasukan penyelamat memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di sebatang sungai di Kampung Sungai Raya, Batu 9 Cheras, Selangor, kira-kira 6.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata lelaki itu terdahulu dilihat berpaut pada ranting di tebing sungai sambil meminta pertolongan sebelum dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan.
"Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan kejadian seorang lelaki yang tidak dikenali, dipercayai berusia lingkungan 40-an, dihanyutkan arus deras di sebatang sungai berhampiran dengan Lot 3250C,” katanya dalam kenyataan, tengah malam tadi.
Beliau berkata pasukan SAR berkenaan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu polis bagi mengesan mangsa dengan menghubungi Sarjan Muhamad Faizal Arif menerusi talian 012-7812 843.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ashrul Riezal Asbar dalam kenyataan malam tadi memaklumkan panggilan kecemasan kejadian itu diterima pada 6.32 petang semalam sebelum pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussien Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.
“SAR dilakukan dua pasukan yang akan melakukan pencarian di kawasan tebing sungai anggaran sepanjang 5 kilometer. Pasukan bantuan dari BBP Kajang menjalankan pencarian di kawasan perangkap sampah Batu 10 Cheras,” katanya.






