Wanita dihanyutkan kepala air ditemukan maut

22 Nov 2026 • 12:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita dihanyutkan kepala air ditemukan maut

IPOH: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras kepala air ketika mandi di kawasan air terjun di Puncak Jelapang, Meru Raya di sini semalam, ditemukan maut hari ini.

Mangsa, P. Shena, 21, ditemukan orang awam pada pukul 8.10 pagi dalam keadaan tersangkut pada batang pokok, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan arus deras.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dijumpai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada pukul 8 pagi tadi.

“Operasi SAR yang dijalankan sejak semalam, disambung pagi ini dengan melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh.

“Operasi pencarian dibahagikan kepada tiga sektor iaitu dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) ke lokasi mangsa dihanyutkan, dari lokasi berkenaan ke PKB dan pencarian menggunakan bot di sepanjang aliran Sungai Pari.

“Pihak bomba turut menggunakan dron bagi melakukan tinjauan di sepanjang laluan sungai bagi membantu mengesan mangsa,” katanya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.14 petang semalam, empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20-an sedang mandi di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan kepala air.

Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri termasuk seorang wanita yang terperangkap di seberang sungai dan diselamatkan anggota bomba. – UTUSAN

The post Wanita dihanyutkan kepala air ditemukan maut appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved