
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan, selepas didapati berkelakuan tidak siuman, apabila menghalang lalu lintas dalam keadaan bogel di sebuah jalan.
Insiden yang berlaku di Langkap, Teluk Intan, Perak, itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihak berkuasa menerima laporan pada jam 9.35 malam berhubung kelakuan tidak senonoh individu tersebut di Jalan Langkap–Chui Chak.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki berusia 41 tahun itu seperti yang dilihat dalam video yang tular di media sosial.
“Suspek dibawa ke Balai Polis Langkap untuk tindakan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Teluk Intan bagi rawatan dan penilaian psikiatri,” katanya.
Jelas Kok Lian, lelaki berkenaan kemudiannya dirujuk untuk penilaian perubatan.
“Tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil penilaian tersebut,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman kejadian itu, sambil menekankan kepentingan menjaga maruah individu terbabit. – Getaran, 4 April 2026
