
Lelaki Bongkar Kebenaran Pasal Bisnes Stesen Minyak Di Malaysia, Curi Tumpuan
Ramai orang yang beranggapan bahawa bisnes stesen minyak bawa banyak keuntungan, boleh cepat kaya.
Tengok saja barisan panjang kereta yang beratur nak isi minyak, ditambah pula dengan jualan di kedai serbaneka yang sentiasa ada pelanggan, memang nampak macam lubuk duit.
Tapi, adakah realitinya semanis itu?
Baru-baru ini, seorang lelaki dipercayai bekas dealer yang pernah menguruskan dua buah stesen minyak bongkar cerita sebenar dari pengalaman perit manisnya sendiri.
Perkongsian menerusi TikTok @azmiabdullah._ itu pantas mencuri perhatian warga maya yang mungkin tertanya-tanya, “Untung ke jadi tauke stesen minyak?”
Ramai orang kata bisnes stesen minyak untung besar. Sebab saya pernah jadi pengusaha dua stesen. Jawapannya ya dan tidak.
Jika stesen itu terletak di kawasan rehat lebuhraya, Insya-Allah boleh untung lumayan. Purata RM20,000 bersih sebulan.
Jika stesen dalam bandar, untung sangat sedikit. Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk stesen sangat ketat. Keselamatan. Bahan mudah terbakar. Jadi stesen dalam bandar hendak capai untung bersih RM5,000 sebulan pun sudah cukup mencabar.
Pada 10 Mei 2010 saya buka stesen pertama. Modal mesti ada tunai RM400,000. MESTI TUNAI. Memang penat sebagai pengusaha baharu. Susun air dalam peti sejuk, akaun, keselamatan, tandas dan sebagainya. Bila masuk bulan ke-6, semak akaun, boleh bayar kos operasi dan untung bersih dalam RM3,000 sebulan. Sedikit sahaja.
Kemudian pada tahun 2016, seorang pengusaha stesen minyak jatuh sakit. Dia merayu agar saya uruskan stesen dia. Sebelum ini, untung bersih stesen dia RM45,000 sebulan. Kemudian, untung merudum.
Saya terima tawaran dia. Saya minta seorang kawan bekas anggota ATM yang terkenal dengan sifat jujur, teliti dan cekap bantu. Pelajar terbaik semua kursus termasuk Sains Komputer di UiTM.
Kami mula operasi dan buat audit menyeluruh terhadap stesen ini. Untung bersih bukan lagi RM45,000 tetapi jatuh kepada RM20,000. Pemilik stesen terlebih belanja RM25,000 setiap bulan.
Oleh itu, pemilik stesen terpaksa berhutang dengan bank. Beberapa peraturan baharu yang dikenakan menyebabkan jualan minyak bukan lagi sumber keuntungan utama bagi stesen.
Jualan minyak stesen ini ialah 1.2 juta liter sebulan = 400,000 liter sehari. Sangat tinggi. Keuntungan yang dijanjikan untuk pengusaha stesen mengikut kadar kerajaan dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia ialah:
1. Diesel: 0.7 sen setiap liter
2. Minyak RON95 (Kuning): 14 sen setiap liter
3. Minyak RON97 (Hijau): 16 sen setiap liter
Kami ambil purata keuntungan 10 sen setiap liter untuk semua minyak walaupun minyak kuning (14 sen) yang paling laris.
Mengikut kiraan kasar, stesen ini sepatutnya boleh menjana untung kasar melalui komisen jualan minyak sebanyak RM120,000 sebulan. 1,200,000 liter x 10 sen setiap liter. WOWWWW. Laksana lombong emas.
Tetapi setelah kami mengendalikan selama 3 bulan, kami dapati untung kasar sebenar dari komisen minyak hanya RM6,000 sahaja sebulan. Bukan RM120,000 seperti yang diunjurkan berdasarkan kadar komisen yang dipersetujui.
Selama 4 bulan kami tidak cukup tidur membuat kajian. Untung jualan kedai memang tinggi sebab lokasi stesen ini sangat strategik. RM80,000 sebulan.
Sepatutnya untung kasar daripada minyak + kedai = RM200,000 sebulan. Tolak gaji pekerja, bil elektrik dan sebagainya berjumlah RM60,000 sebulan = RM120,000 untung bersih yang kami impikan. Pemilik stesen minta kekalkan gajinya sebanyak RM45,000 sebulan. Jadi saya hanya boleh impikan untung bersih RM75,000 sebulan.
Tetapi realitinya, kami hanya untung kasar RM6,000 dari minyak dan RM80,000 dari jualan kedai. Tolak gaji dan kos operasi RM60,000, tinggal RM20,000 sahaja untung bersih sebulan. Pemilik stesen tetap mahu RM45,000. Sudah rugi RM25,000 sebulan.
Jadi, saya serahkan semula stesen ini kepada pemilik kerana beliau tidak boleh bertahan dengan RM20,000. Kos hidup beliau sudah tinggi kerana zaman dahulu untung sangat besar. Saya juga terpaksa serah balik kerana saya pun tidak dapat gaji pengurusan yang saya harapkan iaitu kira-kira RM10,000 sebulan.
Pengusaha stesen minyak berdasarkan pengalaman saya tidak dapat komisen yang dijanjikan daripada jualan minyak. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak jelaskan MENGAPA. Terlalu banyak cukai yang dikenakan. Di mana ‘blind spot’nya pun tidak pasti.
Disebabkan keuntungan daripada minyak sangat sedikit, pengusaha stesen terpaksa jana pendapatan melalui jualan kedai. Nescafe tin di NSK harganya sekitar RM2.50 tetapi di stesen minyak dijual RM3.80. Mahal. Tapi kalau berhenti di Stesen Kawasan Rehat Lebuhraya, beli sahajalah.
Jadi stesen yang tidak terletak di kawasan rehat lebuh raya sukar jual barangan kedai kerana terlalu banyak pesaing. Kedai mamak, Speed 99 dan majoriti pelanggan hanya singgah untuk isi minyak sahaja.
Letak mesin ATM untuk tarik pelanggan masuk kedai pun tidak menjadi sebab orang sekarang guna bayaran dalam talian. Tidak banyak pengeluaran tunai.
Akhirnya, stesen yang kami sayangi ini terpaksa diserahkan semula kepada pemilik jenama apabila ditawarkan untuk penyerahan secara sukarela. Dapatlah semula sedikit modal hasil jualan minyak dan kedai kepada pengusaha baharu. Modal yang RM400,000 itu dapat semula dalam 70 peratus.
Sumber: TikTok @azmiabdullah._
The post Lelaki Bongkar Kebenaran Pasal Bisnes Stesen Minyak Di Malaysia, Curi Tumpuan appeared first on Siakap Keli.




