
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 54 tahun yang melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan, ketika menghantar dan mengambil mereka dari tadika, dihukum penjara berjumlah 30 tahun serta tiga kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusli Japar yang mengekalkan pengakuan bersalahnya terhadap tiga pertuduhan dihadapinya, semasa fakta dan hukuman pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, Rusli dipenjara 10 tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan rotan kerana melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dengan menyentuh bahagian sulitnya antara Mac dan Disember 2024 di dalam kereta yang diletakkan di sebuah kampung di Tuaran.
Bagi pertuduhan kedua, dia dipenjara 10 tahun lagi dan sekali sebatan kerana mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di kampung sama di Tuaran.
Bagi pertuduhan ketiga, Rusli dipenjara 10 tahun lagi dan menerima sekali sebatan rotan kerana melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lima tahun juga dengan menyentuh bahagian sulitnya pada 2022 di dalam kereta yang turut diletakkan di kampung sama di Tuaran.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Rusli menjalani hukuman pertuduhan pertama dan kedua serentak tetapi berturut-turut dengan pertuduhan ketiga yang bermakna dia hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 tahun.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim berkata dia telah mempertimbangkan kepentingan awam, keseriusan kes, kepentingan mangsa yang terlibat di mana mereka tinggal sekampung dengan Rusli dan kes seumpama itu yang berleluasa pada masa kini.
Mahkamah seterusnya berkata hukuman itu sepatutnya menjadi pengajaran bukan sahaja kepada Rusli tetapi juga bakal pesalah lain.
Rusli diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap dan menjalani sesi kaunseling selama dua tahun semasa menjalani hukuman dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara.
Mahkamah turut memerintahkan supaya sebuah kereta yang dirampas dikembalikan kepada pemilik yang sepatutnya.
Semasa mitigasi, Rusli yang tidak diwakili merayu hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia perlu menjaga seorang isteri dan dua anaknya yang merupakan pesakit Talasemia.
Dia meminta semua hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh dia ditangkap.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat atas alasan terdapat dua mangsa yang ketika itu berusia lima tahun terlibat dalam kes itu.
Muhammad juga berhujah bahawa Rusli telah melanggar amanah yang diberikan oleh ibu bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menghantar dan menjemput anak mereka ke tadika.
Tambahnya, berikutan kesalahan yang dilakukan Rusli, kedua-dua mangsa mengalami trauma dan hukuman harus dijalani secara berturut-turut.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian itu berlaku semasa Rusli menghantar dan mengambil kanak-kanak terbabit masing-masing ke tadika.
Ibu bapa mangsa telah mengamanahkan Rusli untuk menghantar dan menjemput mangsa.
Kejadian itu terbongkar apabila kedua-dua mangsa memberitahu ibu bapa mereka bahawa Rusli meminta mereka duduk di atas pahanya semasa memandu dan dia menyentuh bahagian sulit mangsa, masing-masing.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa mangsa, Rusli ditahan.


