
Lelaki Cedera Disamun Tujuh Penjenayah Di Stesen Minyak
Seorang lelaki mengalami kecederaan apabila disamun oleh tujuh penjenayah bersenjatakan parang dan kayu di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak.
Kejadian dilaporkan berlaku di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Petaling Jaya, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, memaklumkan bahawa insiden terbabit berlaku sekitar jam 4.30 pagi itu.
Akibatnya, mangsa berusia 41 tahun telah dipukul dan barang miliknya seperti wang tunai serta rantai leher dirampas.
“Ketika kejadian mangsa berhenti rehat berhampiran stesen minyak itu, lelaki itu cedera di kepala dan tangan akibat dipukul penjenayah, nilai kerugian dianggarkan RM15,000,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pihak polis kini giat mengesan ketujuh-tujuh suspek serta menyiasat kenderaan yang digunakan oleh kumpulan penjenayah itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Lelaki Cedera Disamun Tujuh Penjenayah Di Stesen Minyak appeared first on Siakap Keli.


