
Lelaki Cedera, Motosikal Dinaiki Terbabas Masuk Rumah Orang
Tular di media sosial Indonesia berkenaan kejadian insiden kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal yang terbabas hingga masuk ke ruang tamu rumah penduduk.
Memetik Liputan6, video tersebut telah dikongsikan oleh laman Instagram @memomedsos dan telah menarik perhatian pengguna media sosial tersebut.
Berdasarkan muat naik video tersebut, dapat dilihat keadaan rumah penduduk telah mengalami kerosakan kesan daripada kemalangan berkenaan.
Ruang tamu rumah itu berada dalam keadaan yang sangat bersepah dan terdapat juga barangan rumah rosak akibat dilanggar motosikal tersebut.
Bukan sahaja perabot rumah yang habis rosak dilanggar, penunggang motosikal itu juga turut melanggar motosikal lain milik tuan rumah yang berada di ruangan tersebut. Malah jiran tetangga turut dilihat cuba membantu penunggang dan pemilik rumah tersebut.
Penunggang motosikal itu dilihat seperti tidak berdaya sambil berbaring di tempat kemalangan. Lelaki itu dipercayai tidak sedarkan diri buat seketika akibat hentakan yang berlaku semasa kemalangan.
Menurut muat naik video itu, kemalangan dipercayai berlaku di kawasan Balikpapan, daerah wilayah Kalimantan Timur.
Kejadian sebenar masih tidak mendapat maklumat jelas
Sehingga kini, kronologi kejadian tersebut masih tidak dapat diketahui berikutan kekurangan maklumat mengenai kemalangan.
Perkongsian muat naik terbabit telah mendapat reaksi pelbagai daripada netizen yang menonton video tersebut. Mereka juga sempat meninggalkan komen mereka berikutan kemalangan tersebut.
Antara komen yang mendapat perhatian adalah:
“Sebab ini saya takut mempunyai rumah di tepi jalan. Berhenti makan di gerai-gerai tepi jalan juga sekarang ini membuatkan saya risau. Terutamanya lepas melihat berita begini,” tulis seorang netizen yang takut jika kejadian sedemikian menimpa dirinya.
“Ini tetamu yang tidak diundang sebenarnya. Keliru sama ada nak simpati atau ketawa,” tulis seorang lagi netizen.
“Hati-hati ya semua yang memandu kerana keluarga kamu sedang menunggumu di rumah,” tulis seorang netizen yang memberi peringatan kepada orang ramai.
Terdahulu, tiga gadis ditemui dalam keadaan berlumuran dengan air longkang hitam legam selepas motosikal yang dinaiki mereka dilapor terbabas ke dalam longkang di kawasan Desa Gubug, Kabupaten Grobongan, Indonesia.
Menurut Detik.com, Ketua Ibu Pejabat Polis Daerah Grobongan, AKP Deni Eko Prasetyo berkata tiga gadis itu dipercayai sedang mencuba motosikal baharu.
“Mereka tidak tahu motosikal itu berat malah mereka bertiga menaikinya bertiga jadi bertambah berat untuk ditunggang. Yang memandu tidak dapat menahannya, lebih-lebih lagi sewaktu lalu bonggol,” kata Deni ketika dihubungi Detik.
Sumber: Liputan 6, Memomedsos
The post Lelaki Cedera, Motosikal Dinaiki Terbabas Masuk Rumah Orang appeared first on Siakap Keli.

